SUDAH DIKEPUNG: Stesen Kereta Api Tanjong Pagar kini telah dikepung bagi membolehkan kakitangan KTMB memindahkan barang-barang yang diperlukan dan bagi SLA menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dan pemeriksaan struktur. SLA berkata pembukaannya semula akan diberitahu kelak. -- Foto M.O. SALLEH |
SINGAPURA
PENGUASA Tanah Singapura (SLA) telah mengambil alih bangunan-bangunan dan kawasan yang dahulu diduduki Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi memulakan kerja-kerja pemindahan dan penyenggaraan setelah kawasan tersebut diserahkan kepada Singapura, semalam.Namun, seluruh laluan landasan kereta api - kecuali beberapa tempat yang dikepung - masih dibuka sehingga 17 Julai ini bagi membolehkan orang ramai mengunjunginya.Kawasan-kawasan yang dikepung itu termasuk Stesen Kereta Api Tanjong Pagar dan stesen Bukit Timah serta kuarters KTMB di Spooner Road.Setelah 17 Julai, landasan akan ditanggalkan, kecuali laluan sepanjang 3 kilometer antara Rifle Range Road dan Rail Mall yang akan terus dibuka sehingga 31 Julai ini.Sementara itu Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengalu-alukan sumbangan maklum balas dan idea orang ramai bagi sama-sama melakarkan rancangan pembangunan bagi kawasan itu.Kenyataan bersama SLA dan URA semalam menyatakan kededua stesen itu akan ditutup sementara bagi memudahkan KTMB dan penyewanya memindahkan perabot dan peralatan dan membolehkan SLA menjalankan kerja-kerja penyenggaraan dan pemeriksaan struktur bangunan.Bermula semalam hingga 17 Julai ini, lintasan kereta api di Kranji Road, Sungei Kadut Avenue, Choa Chu Kang Road, Stagmont Ring dan Gombak Drive akan ditanggalkan.Bermula 18 Julai pula, seluruh landasan kereta api - kecuali laluan antara Rifle Range Road dengan Rail Mall - akan ditanggalkan dan semua bangunan kecil, kabel, pagar, tiang dan peralatan kereta api dipindahkan.Semua kerja-kerja itu dilakukan oleh Singapura dan segala peralatan akan diserahkan kepada Malaysia.Semua kerja dijangka selesai pada 31 Disember ini.Dalam kenyataan tersebut, URA berkata pihaknya akan melakukan semakan secara menyeluruh dan melakarkan rancangan pembangunan bagi bekas kawasan kereta api dan sekitarannya.Antara usaha semakan yang dibuat ialah mengkaji kemungkinan menyatukan pembangunan dengan alam semula jadi - mengekalkan satu laluan hijau sepanjang koridor landasan kereta api tanpa menjejas pembangunan di kawasan itu.URA mengundang orang ramai menyumbang idea di www.ura.gov.sg/railcorridor.Kunjungan Berita Harian ke Stesen Tanjong Pagar, kuarters KTMB di Spooner Road dan gudang KTMB di Kampong Bahru Road semalam, mendapati papan-papan SLA yang menandakan kawasan itu sebagai hartanah negara telah dipasang.Stesen Tanjong Pagar juga telah dikepung dengan papan zink dan dan laluan masuk dipasang pagar hijau - tepat pada 12 tengah malam semalam.Menurut jurucakap SLA, agensi bertanggungjawab akan meninjau bangunan Stesen Tanjong Pagar untuk melakar panduan bagi kerja-kerja pemuliharaan. Tinjauan itu dijangka selesai hujung tahun ini atau awal 2012.'Bagi apartmen Spooner Road, URA akan bekerjasama dengan agensi relevan untuk mempertimbangkan kegunaan flat-flat itu buat sementara waktu,' kata jurucakap URA.Menurut seorang kakitangan KTMB yang ditemui semalam, Encik Hassan Abdul Rahman, beliau dan pasukannya akan berada di Singapura sehingga 15 Julai ini bagi memindahkan peralatan KTMB dari Stesen Tanjong Pagar ke depoh KTMB di Kempas, Johor.Cyberita Online Singapura
No comments:
Post a Comment