Saturday, July 2, 2011

Strauss-Kahn bakal terlepas dakwaan

Dominique Strauss-Kahn dan isteri, Anne Sinclair.
Dominique Strauss-Kahn dan isteri, Anne Sinclair.
Pendakwa temui bukti pekerja hotel berbohong

NEW YORK: Kes terhadap bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn yang dituduh melakukan serangan seksual mungkin tidak dibawa ke pengadilan selepas pendakwa menemui bukti yang menjejaskan kewibawaan plaintif.
Wanita yang mendakwa menjadi mangsa serangan seksual didapati berulang kali berbohong meskipun bukti forensik mengesahkan kewujudan aktiviti seks antara Strauss-Kahn dan pekerja hotel terbabit.
Pendedahan terbaru menyebabkan penyokong Strauss-Kahn sekali lagi menuduh kes terhadapnya adalah perangkap politik.

“Kredibiliti plaintif dipersoalkan,” kata sumber yang enggan dikenali yang mendedahkan pendakwa raya menemui masalah dalam permohonan suaka pengemas bilik berusia 32 tahun berbangsa Guinea itu selain kemungkinan dia terbabit dalam aktiviti jenayah termasuk urus niaga dadah dan penggubahan wang.

Akhbar menambah, pendakwa mendapati wanita itu berbual di telefon dengan seorang penjenayah, sehari selepas insiden dengan Strauss-Kahn, dan membincangkan faedah kepadanya jika meneruskan dakwaan. Perbualan mereka dirakam.

Malah, lelaki itu yang ditahan atas tuduhan memiliki 180 kilogram ganja, adalah antara beberapa individu yang membuat beberapa deposit tunai berjumlah AS$100,000 (RM300,000) ke dalam akaun bank plaintif sejak dua tahun lalu.
Satu lagi sumber rapat kes berkata, pejabat peguam daerah membawa kes terhadap Strauss-Kahn kepada seorang hakim tanpa memeriksa sepenuhnya kejujuran wanita terbabit.

“Hampir semua yang dilaporkan mengenai wanita itu pada awalnya tidak benar namun tiada seorang pun memeriksa atau mahu mempercayai perkara sebaliknya,” katanya.

Akhbar New York Times melaporkan, pendakwa raya bertemu dengan peguam Strauss-Kahn kelmarin dan kedua-dua pihak berbincang sama ada untuk mengetepikan tuduhan jenayah.

Perkembangan terbaru itu meningkatkan peluangnya secara dramatik untuk kembali bertanding dalam pilihan raya presiden Perancis.

Strauss-Kahn, 62, adalah seorang pemacu ekonomi dunia dan calon utama presiden Perancis apabila ditahan 14 Mei lalu atas tuduhan menyerang seorang pekerja hotel di sini.

Penahanan itu memaksa Strauss-Kahn meletak jawatan dari IMF dan menamatkan cita-citanya menjadi presiden, namun kerjaya politiknya mungkin dapat dipulihkan kembali jika pendakwa raya menggugurkan kes itu. – Reuters
Berita Harian Online | Strauss-Kahn bakal terlepas dakwaan

No comments:

Post a Comment