BANGKOK: Rakyat Thailand berdepan hukuman penjara sekiranya mereka berkempen di rangkaian media sosial seperti Twitter ketika pilihan raya berlangsung esok.
Lebih 100 anggota polis ditugaskan untuk memantau laman web bagi memastikan undang-undang dipatuhi. Rakyat juga tidak boleh memberi ulasan terhadap mana-mana calon atau parti bertanding dalam pilihan raya itu. Kebanyakan rakyat berharap demokrasi dapat diaplikasikan semula selepas enam tahun negara menghadapi krisis politik. Pusat mengundi akan dibuka jam 8 pagi hingga 3 petang esok. “Mana-mana calon dan penyokong mereka akan berdepan hukuman penjara jika ditangkap berkempen di laman web media sosial pada petang sebelum pilihan raya 3 Julai,” kata Setiausaha Agung Suruhanjaya Pilihan raya, Suthiphon Thaveechaiyagarn. Pesalah akan berdepan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda 10,000 baht (RM977). Petang Sabtu adalah tempoh rehat apabila semua kempen diharamkan. Pengharaman termasuk menghantar mesej pesanan ringkas dan penghantaran e-mel. Penjualan alkohol turut diharamkan pada tempoh sama, syarat biasa di Thailand ketika pilihan raya.
Undang-undang kempen politik melalui media dalam talian bukan perkara baru, tetapi menjadi isu apabila laman seperti Facebook dan Twitter semakin popular di Thailand sejak beberapa tahun lalu.
“Satu unit polis terdiri lebih 100 orang akan memantau keadaan,” kata jurucakap polis Prawut Thavornsiri. “Sekiranya kami dapat mengesan punca (mesej dalam talian), kami akan menyekat laman itu dan membuat penangkapan,” tambahnya. - Reuters
No comments:
Post a Comment