Saturday, July 2, 2011

Kisah Wang Kertas Polimer RM5

WANG kertas polimer RM5 bewarna hijau antara wang yang sering menghuni dompet penulis, dan merupakan wang yang paling kerap digunakan penulis - terutamanya untuk urusan pembelian makan tengah hari - selain wang RM1 yang dihulurkan di plaza-plaza tol.

Wang yang dikeluarkan untuk edaran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 26 Oktober 2004 itu lebih kuat dan tahan lama berbanding wang kertas sebelumnya, selain mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih unik menyebabkan ia sukar untuk dipalsukan.

Siapa tahu, selepas tujuh tahun wang berwarna hijau itu digunakan, seorang bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) dan seorang ahli perniagaan akan dikenakan tindakan undang-undang berhubung tuduhan rasuah berkaitan projek percetakan wang itu yang dikatakan bernilai melebihi RM95 juta.

Bekas Penolong Gabenor terbabit, Datuk Mohamad Daud Dol Moin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas tuduhan menerima rasuah bernilai RM100,000 berhubung kontrak projek percetakan wang polimer RM5 yang diberikan kepada sebuah syarikat di negara yang sinonim dengan lambang kanggaro, Australia.

Mohamad Daud, 58, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut, yang bernilai RM50,000 setiap satu yang didakwa diterimanya daripada ahli perniagaan, Abdul Kayum Syed Ahmad, 62, pada antara 1 Disember 2004 dan 16 Februari 2005.

Suapan tersebut yang didakwa diterima dalam bentuk wang tunai didakwa diterima di Restoran Dome,G7, aras bawah, Bangsar Shopping Centre di ibu negara, dan didakwa untuk membantu syarikat Note Printing Australia Ltd mendapatkan kontrak 'Percertakan Wang Polimer RM5' daripada BNM.

Abdul Kayum, bapa kepada tiga orang anak itu pula dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor, atas pertuduhan memberi suapan itu kepada Mohamad Daud untuk tujuan yang sama pada 24 November 2004 dan 15 Februari 2005 di Bank EON, Jalan Taipan, Subang Jaya.

Pendakwaan terhadap Mohamad Daud dikendalikan mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 1997 manakala Abdul Kayum didakwa mengikut Seksyen 11 (b) akta yang sama.

Kedua-dua seksyen tersebut memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 16 akta sama yang membawa hukuman penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun, dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pada Khamis, Mahkamah Shah Alam memanggil Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Abdul Rahman Bakri untuk membela diri atas lapan pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM80,000 daripada program-program kemasyarakatan yang tidak dijalankan semasa tertuduh menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar.

Antara program-program tersebut ialah Program Motivasi Pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) serta Jamuan Meraikan Pelajar Cemerlang SPM, PMR dan UPRS.

Ia turut melibatkan Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Kumpulan Rukun Tetangga (RT), Program Forum Perdana, Program Mesra Rakyat dan Sambutan Maulud Nabi serta Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Guru-Guru Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Kesemua tuntutan palsu itu didakwa diserahkan kepada Mohd. Hamizar Sulaiman, Rizam Ismail dan Mohamad Fairos Johari di Pejabat Daerah Sabak Bernam, antara 21 Januari dan 12 Februari 2008.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh turut memanggil pembantu khas Abdul Rahman, Rosli Busro untuk membela diri atas pertuduhan bersubahat untuk melakukan kesalahan itu dan menetapkan 14 dan 15 september depan untuk mendengar keterangan kedua-dua tertuduh.

Berbeza pula dengan nasib anak kepada pengendali laman blog, Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamaruddin, Raja Azman, 35, yang tidak berhenti tersenyum-senyum apabila Mahkamah Majistret Shah Alam pada hari yang sama, melepas dan membebaskan dia daripada dua pertuduhan mencuri.

Siapa dapat melupakan bagaimana Raja Azman, seperti bapanya dapat menggemparkan negara - dalam dua keadaan yang berbeza, bapanya dalam hal perihal politik, manakala Raja Azman menjadi tajuk utama berita apabila menelan bilah pisau cukur dan mencederakan tangan kirinya pada 8 Februari 2010.

Pelbagai teori termasuk dakwaan bahawa tidakan itu diambil ekoran tertekan akhirnya terbukti tidak benar apabila Raja Azman sendiri mengakui bahawa ia dilakukan sebagai tanda protes selepas dia diasingkan sel oleh warden di Penjara Sungai Buloh.

Majistret Nurkamilah Aziz membuat keputusan itu tanpa memanggil anak kedua daripada lima beradik itu untuk membela diri atas pertuduhan itu, selepas berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah gagal untuk menimbulkan prima facie terhadap pertuduhan.

Sebelum ini, Raja Azman yang tidak bekerja itu didakwa mencuri telefon bimbit, jam tangan Seiko dan satu rangkai kunci motosikal yang dianggarkan bernilai RM3,850 milik seorang pelajar, Saiful Adli Mohamad Yunus, 21.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Sastera U2/1K, Seksyen U2, Shah Alam, pada pukul 10 pagi, 24 April 2009.

Selain itu, dia turut didakwa memiliki harta curi iaitu motosikal Yamaha 135 LC bernilai RM6,000 milik seorang pelajar, Ahmad Firdaus Jalaluddin, 23, pada pukul 10.40 malam, 5 Mei 2009 di Blok 1, Apartmen Kinrara Court, Puchong.

Razak Ahmad, pelakon yang sinonim dengan watak orang baik-baik pada Rabu, diarahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya untuk membela diri atas pertuduhan berkhalwat dengan seorang wanita berstatus isteri orang, yang didakwa dilakukannya pada tahun 2006.

Pelakon watak Tok Imam dalam drama Geng Surau itu didakwa berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, seorang pengusaha butik dan kesalahan itu didakwa dilakukan pada 1 April 2006, pada pukul 2.15 pagi di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, Serdang, Selangor.

Selamah, sejak awal-awal lagi telah mengaku bersalah dan telah pun menjelaskan denda sebanyak RM2,850, iaitu kurang RM150 daripada denda maksimum yang diperuntukkan bagi kesalahan berkhalwat.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad yang membuat keputusan itu pada Rabu, turut menetapkan 15 September depan untuk Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad membela diri dan pilihannya, sudah pasti memberi keterangan daripada kandang saksi.

Wan Mahyuddin pada penghakimannya berkata, pihak pendakwa syarie daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah berjaya mewujudkan kes terhadap Razak yang boleh disabitkan besalah, sekiranya dia gagal untuk mematahkan pertuduhan yang dihadapinya.

Beliau juga menolak hujahan yang dibangkitkan oleh peguam syarie Mohamad Azman Karim yang membangkitkan isu tangkapan terhadap anak guamnya, kerana mendakwa ia tidak dilakukan oleh seorang pegawai polis, sebaliknya oleh anggota polis berpangkat Lans Koperal.

Bagaimanapun, Wan Mahyuddin yang merujuk kepada Akta Polis 1967 berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh seseorang yang diberi kuasa mengikut undang-undang, selain akta terbabit juga menyatakan pegawai polis itu adalah mana-mana anggota polis yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengambil contoh pegawai masjid, Wan Mahyuddin berkata, perkataan tersebut boleh digunakan kepada semua individu yang terlibat dalam pentadbiran sesebuah masjid, seperti tok siak, tok imam, nazir mahupun bilal.

Selain itu, beliau juga mendapati isu tersebut tidak akan menjejaskan pertuduhan khalwat kerana elemen-elemen khalwat seperti wanita itu bukan mahramnya dan kelakuan itu boleh menimbulkan syak sedang berlaku prkara tidak bermoral telah dibuktikan.

Ini dapat dilihat dari keadaan hanya Razak dan Selamah yang berada di dalam rumah itu, dan kelakuan pelakon itu yang sedang tidur dalam keadaan tidak berbaju dan hanya berseluar jeans.

Kes tersebut yang melibatkan keterangan lima saksi pendakwaan memakan masa selama lima tahun, dan diharapkan Razak tidak perlu menunggu selama itu untuk mengetahui sama ada dirinya akan disabitkan bersalah atau tidak atas pertuduhan berkenaan.

mStar Online
: Kisah Wang Kertas Polimer RM5

No comments:

Post a Comment