MOHD Hassan (kiri) dinobatkan Imam Muda Musim Kedua di Pusat Islam, Kuala Lumpur, malam tadi. Naib juara, Nazarul Izwan. - Foto Mohd Kamil Rahim |
KUALA LUMPUR: Rezeki menyebelahi Mohd Hassan Adli Yahaya @ Yahuza, 26, apabila dinobatkan juara Imam Muda musim kedua (IM2) pada pertandingan akhir di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di sini, malam tadi.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu (al-Quran dan Hadis), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menewaskan Nazarul Izwan Zolkiflee , 26, pemegang Diploma Pengajian Islam, Kolej Pengajian Islam dan Dakwah.
Dengan kemenangan itu, Mohd Hassan menerima tajaan penuh biasiswa pengajian ke Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU); sebuah kereta Proton model Exora; pakej menunaikan ibadat haji dan umrah; pakej percutian ke Vietnam dan wang tunai RM25,000 serta telefon bimbit.
Hadiah lain yang mengiringi kejayaannya ialah pakej perabot jati bernilai RM15,000; wang tunai RM30,000 berserta iPad tajaan Astro; sebuah komputer riba Apple Macbook Pro; sebuah iPhone 3G; kamera digital; trofi Imam Muda musim kedua serta sijil penyertaan dan kad pentauliahan diiktiraf JAWI.
Mohd Hassan ketika berucap mendedikasikan kemenangan itu kepada ibu dan arwah ayahnya.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Astro, guru-guru, JAWI dan tenaga pengajar yang tidak kedekut ilmu, mursyid (mentor), mudir (pengetua), penonton dan wartawan yang menyebar luas program Imam Muda,” katanya.
Naib juara, Nazarul Izwan pula membawa pulang biasiswa pengajian ke MEDIU, kereta Proton model Pesona; wang tunai RM20,000 berserta iPad tajaan Astro; pakej perabot jati bernilai RM10,000; trofi Imam Muda; komputer riba; sijil penyertaan; kad pentauliahan diiktiraf JAWI dan beberapa hadiah lain. Lapan peserta lain menerima biasiswa melanjutkan pengajian ke MEDIU. Berita Harian Online | Hassan juara Imam Muda musim kedua
No comments:
Post a Comment