Saturday, July 2, 2011

Monaco meriah sambut perkahwinan diraja

ALBERT dan Wittstock
ALBERT dan Wittstock
Gosip liar gagal sekat Albert, Wittstock bersatu

MONACO: Perayaan bermula di sini untuk perkahwinan diraja mewah berharga AS$60 juta (RM180.63 juta) selama tiga hari yang menyaksikan bekas playboy Putera Albert II berkahwin dengan rakyat biasa, Charlene Wittstock, semalam.
Acara dipenuhi penyertaan selebriti itu bermula malam kelmarin dengan satu konsert di Stade Louis II, memaparkan kumpulan rock California, The Eagles dan disaksikan oleh 15,000 penduduk negara kecil Laut Mediterranean itu.
Sambutan diteruskan ketika Wittstock, juara renang Afrika Selatan muda 20 tahun daripada Albert, dilaporkan merasa ragu-ragu untuk berkahwin, laporan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh istana.

Ia dipercayai berpunca daripada khabar angin bahawa Albert memiliki anak luar nikah ketiga.

Awal minggu ini, Wittstock dilaporkan cuba meninggalkan Monaco dalam keadaan tergesa-gesa tetapi ditepis istana.

Ia mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Khabar angin ini bertujuan menjejaskan imej putera raja dan seterusnya Wittstock.”
Walaupun istana meminta akhbar L'Express menarik balik berita itu, pengarangnya, Christopher Barbier enggan atas alasan tiga sumber berasingan mengesahkannya.

Insiden sebelum perkahwinan mewah itu didedahkan selepas sebuah akhbar melaporkan bahawa Wittstock mendapat tahu rahsia besar masa lalu tunangnya yang menyebabkannya membeli tiket pulang.

Bapa Wittstock, Mike seorang jurujual mesin fotostat, menyokong istana dalam menafikan laporan itu, mengatakan anak perempuannya hanya berkunjung ke Paris untuk membeli-belah bersama ibunya.

Albert, 53, akan berkahwin dengan Wittstock, 33, dalam upacara sivil 40 minit di istana dan penyatuan mereka akan dilangsungkan dalam satu upacara Katolik di perkarangan utama istana, hari ini.

Perkahwinan itu dijangka menjadi acara terbesar Monaca sejak perkahwinan ibu Albert, bintang Hollywood, Grace Kelly dan bapanya, Putera Rainier.

Kira-kira 3,500 tetamu dijemput bagi menyaksikan upacara keagamaan hari ini yang turut disiarkan secara langsung pada layar gergasi di Dataran Istana.

Tetamu utama termasuk Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, beberapa raja dan puteri raja Eropah, Asia Barat dan Afrika, pereka fesyen Karl Lagerfeld dan Giorgio Armani, supermodel Naomi Campbell, bekas pelakon James Bond, Roger Moore dan pemilik syarikat penerbangan Virgin, Richard Branson.

Upacara itu akan diikuti satu perarakan, majlis makan malam rasmi dihidangkan chef terkenal Alain Ducasse dan tarian gala di Opera Garnier dan Terraces of the Monte-Carlo Casino.

Sambutan semalam diakhiri pertunjukan lampu dan bunyi di Pelabuhan Hercules.
Pada 2005, beliau mengakui menjadi bapa kepada budak lelaki 22 bulan dengan bekas pramugari Togo dan pada 2006, ujian DNA membuktikan beliau juga bapa kepada remaja perempuan, dilahirkan seorang wanita California pada awal 1990-an.

Pemerhati diraja mengatakan Wittstock mungkin mengalami kesukaran menyesuaikan diri dengan kehidupan diraja berbanding isteri Putera William, Catherine, kini Duchess of Cambridge kerana tidak seperti Middleton, Wittstock dibesarkan dalam persekitaran kelas pekerja dan tidak menghadiri sekolah persendirian mewah. – Agensi
Berita Harian Online | Monaco meriah sambut perkahwinan diraja

No comments:

Post a Comment