Thursday, July 21, 2011

Penuntut ditipu ‘hidup-hidup’



KUALA TERENGGANU- Gara-gara terlalu ghairah untuk mendapatkan wang tunai yang ditawarkan, dua penuntut dari sebuah institut pengajian tinggi (IPT) di Dungun terpaksa berputih mata setelah kehilangan wang di dalam akaun bank masing-masing selepas ditipu ‘hidup-hidup’ dalam kejadian berasingan sepanjang awal Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Superintenden Azmi Adam (gambar) berkata, kejadian melibatkan mangsa pertama, seorang penuntut wanita berumur 19 tahun berlaku pada 9 Julai lalu, selepas mangsa menerima satu panggilan telefon daripada individu tidak dikenali memberitahu simkadnya terpilih sebagai pemenang cabutan bertuah berupa tunai RM5,000.

“Teruja dengan pengkhabaran itu, mangsa tanpa berlengah terus mengaktifkan akaun miliknya melalui perkhidma-tan perbankan internet dengan memasukkan segala butiran peribadi termasuk nombor pin serta kata laluan akaun bank seperti mana yang diarahkan suspek tanpa perlu membuat sebarang pembayaran atau pemindahan wang.

“Suspek berjanji wang tunai itu akan dimasukkan dua hari selepas akaun melalui perhidmatan ‘perbankan internet’ diaktifkan namun pada 12 Julai, mangsa yang tidak sabar melihat wang simpanan di dalam akaunnya bertambah tergamam selepas mendapati duitnya sejumlah RM2,448 lesap begitu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di pejabatnya, semalam.

Sementara itu, Azmi berkata, kejadian kedua melibatkan seorang penuntut lelaki berumur 19 tahun yang kerugian RM580 setelah ditipu dengan taktik sama seperti mangsa pertama sebelum ini.

“Tetapi bagi kes kedua ini, mangsa tertipu selepas menerima panggi-lan telefon pada 10 Julai lalu kononnya dia telah memenangi hadiah tunai RM3,000 dalam satu peraduan yang dianjurkan sebuah syarikat.

“Gembira dengan berita itu, mangsa terus mengaktifkan akaun melalui perkhidmatan perbankan internet dan memasukkan segala butir peribadi seperti diarahkan tanpa perlu membuat sebarang pembayaran atau pemindahan wang,” katanya.

Azmi berkata, bagaimanapun, dalam masa sama mangsa diminta menambah nilai kredit kepada nombor telefon suspek berjumlah RM180.

“Selepas itu, suspek berjanji wang tunai itu akan dimasukkan ke dalam akaun mangsa pada keesokkan harinya iaitu 11 Julai namun janji hanya tinggal janji.

“Mangsa bukan sahaja tidak menerima wang tunai yang dijanjikan itu, malah wang simpanannya yang berjumlah RM400 lesap begitu sahaja,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Dalam masa sama, Azmi turut me-ngingatkan kepada orang ramai agar jangan sesekali mudah terpedaya dengan panggilan atau perkhidmatan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang menawarkan sebarang hadiah kerana itu adalah taktik penipuan semata-mata.

“Saya ingin menasihatkan kepada orang awam agar jangan terlalu mudah mendedahkan segala butir peribadi terutamanya nombor kad pin serta kata laluan bank kerana ia memudahkan penjenayah ‘mencuri’ wang simpanan kita,” katanya.
SH

No comments:

Post a Comment