KOTA BHARU - Seorang warga emas, Zainab Mahek, 59, tinggal sehelai sepinggang setelah rumah yang didiaminya bersama tiga anak lelakinya musnah dalam kebakaran di Kampung Cekok, kelmarin.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.15 petang itu hanya disedari oleh anak lelaki bongsunya, Mohd Zulkifli Mohamad, 26, ketika pulang ke rumah selepas singgah ke kedai berdekatan bagi mendapatkan bekalan rokok.
Menurut salah seorang saksi kejadian, Mohamad Ibrahim, 44, yang tinggal berdekatan dengan rumah terbabit, ketika kejadian tiada penghuni di dalam rumah terbabit.
“Saya hanya menyedari rumah itu terbakar apabila melihat Mohd Zulkifli tercungap-cungap menghampiri saya memberitahu rumahnya terbakar ketika pulang dari kedai runcit berdekatan.
“Ketika itu saya sedang membaiki sarang burung yang hanya terletak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian, lalu terus menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan untuk memadamkan api yang semakin marak,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, menurut Zainab, ketika kejadian dia berada di rumah kawannya setelah pulang dari tempat kerja di sebuah kedai makan di Panji.
“Saya keluar rumah kira-kira jam 6.30 pagi dan pulang pada jam 4 petang namun pada hari kejadian saya singgah ke rumah kawan bagi menyelesaikan beberapa urusan luar.
“Terkejut bukan kepalang bila saya diberitahu oleh anak saya, Zulkifli rumah yang saya diami bersama adik beradiknya yang lain hangus dalam kebakaran,” katanya.
Katanya, Zulkifli membawanya pulang ke rumah ketika api masih marak, namun dia tidak dapat menyelamatkan segala barangan dalam rumah kerana kawasan itu telah dikawal oleh pihak bomba disebabkan keadaan api yang semakin besar.
“Sedih rasanya, bila kediaman yang kami diami sejak berpuluh tahun lalu musnah begitu sahaja dalam kebakaran ini.
“Lagipun makcik tiada tempat bergantung setelah suami, meninggal dua tahun lalu akibat sakit tua dan makcik bekerja untuk menyara hidup,” katanya.
Sementara itu Penolong Penguasa Bomba Negeri, Sharberi Zakaria, ketika ditemui di tempat kejadian berkata, pihak bomba menerima panggilan kira-kira jam 6.24 petang.
“Tiga jentera dengan bantuan 24 anggota termasuk bomba sukarela dari Balai Bomba Pengkalan Chepa dan Kota Bharu bertindak pantas cuba memadamkan kebakaran.
“Api berjaya dikawal dan operasi memadam kebakaran tamat kira-kira jam 7.10 petang,” katanya.
Katanya, punca kebakaran masih disiasat dan kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM 60,000 tidak termasuk barangan rumah.
No comments:
Post a Comment