TELUK INTAN - Jabatan Perikanan Negeri akan menyiasat kewujudan ikan berkepala buaya yang ditemui di perairan Sungai Perak dan kini menjadi tanda tanya oleh pelbagai pihak terutama jabatan berkenaan.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Sani Mohd lsa berkata, pihaknya kini sedang menyiasat sama ada pihak tertentu mengimport spesies itu daripada luar negara dan dilepaskan ke dalam Sungai Perak, di sini.
Menurutnya, pihaknya bimbang sekiranya ikan berkepala buaya itu membiak di Sungai Perak, ia menjadi ancaman kepada hidupan air tawar.
“Ikan berkepala buaya ini banyak ditemui di Negara Latin Amerika yang dikategorikan sebagai ikan air tawar selain berbahaya kerana mempunyai gigi tajam seperti buaya.
“Mana-mana nelayan yang menangkap ikan itu di perairan negeri ini diminta segera menghubungi Jabatan Perikanan Daerah agar ikan ini dapat dilupuskan,” katanya yang turut melawat dan melihat sendiri ikan berkepala buaya di Pasar Besar Teluk lntan (PBTI), di sini, semalam.
Sinar Harian, bertarikh 20 Julai lalu menyiarkan mengenai penemuan ikan ganjil berkepala buaya yang termasuk dalam belat milik seorang nelayan di Sungai Perak dekat Kampung Batu 8 Jalan Hutan Melintang, dekat sini.
Ikan sepanjang 1.2 meter dan berat 5.8 kilogram kemudiannya dibeli oleh seorang peniaga ikan, Jamaluddin Harin, 58, daripada seorang nelayan.
Sani berkata, beliau ingin menasihati orang ramai supaya tidak memelihara ikan tersebut sama ada dalam kolam atau akuarium di rumah kerana boleh mendatangkan kemudaratan sekiranya terkena gigitannya.
“Malahan, pihak kami juga akan merampas ikan spesies ini dan tidak pernah memberi permit kepada mana mana individu yang mahu menternak ikan ini,” katanya.
Sementara itu, Jamaluddin berkata, pegawai Jabatan Perikanan datang hanya hendak mengambil gambar ikan itu dan telah mengambil maklumat daripadanya.
“Saya tidak bercadang hendak menjual ikan ini sebaliknya akan awetkan ikan itu untuk dijadikan pameran kepada orang ramai termasuk mereka yang mahu mengambil gambarnya,” katanya.
No comments:
Post a Comment