GUA MUSANG – Seorang pemandu lori yang membawa muatan batu cedera parah apabila lori yang dipandunya terbabas dalam kejadian di Felda Aring Enam, di sini, kelmarin.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 4 petang itu melibatkan sebuah lori yang terbabas dipercayai akibat masalah brek lori yang tidak berfungsi dengan baik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Ariff Yussof, pihaknya menerima panggilan dari orang awam jam 4.08 petang dan bergegas ke tempat kejadian yang terletak lebih kurang 65 kilometer.
Menurutnya, sebuah jentera yang diketuai pegawai Bomba Kanan dua, Ahmad Zailan Maarof bersama lapan anggota bergegas ke tempat kejadian bagi operasi menyelamat mangsa yang dipercayai tersepit.
“Apabila sampai di tempat kejadian, anggota menggunakan peralatan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa yang cedera di bahagian pemandu.
“Kita berjaya mengeluarkan mangsa selepas 15 minit operasi menyelamat dan mangsa di hantar ke hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata, mangsa, Mohamad Nasir Taib, 36, mengalami kecederaan di bahagian kaki akibat tersepit, dipercayai patah tangan kanan, dan kecederaan di beberapa bahagian anggota badan yang lain.
Katanya, dipercayai kejadian berlaku apabila lori tersebut dan beberapa lori yang membawa muatan sama melalui jalan selekoh dan menuruni bukit.
Menurutnya, akibat masalah brek, pemandu tersebut hilang kawalan dan terbabas sehingga terbalik ke bahagian kanan pemandu.
“Kita membawa keluar mangsa melalui cermin hadapan kerana kesukaran akibat kaki mangsa yang tersepit. Pihak kita pada mulanya mengalami kesukaran dalam operasi tersebut kerana keadaan jalan berbukit dan selekoh,” katanya.
No comments:
Post a Comment