IPOH – Walaupun berlaku perselisihan faham antaranya dengan anak, seorang ibu yakin perkara itu bukan penyebab anaknya menghilangkan diri.
“Memang anak saya ada membawa beberapa helai pakaian bersamanya ketika menghilangkan diri.
“Tetapi saya percaya perselisihan faham itu bukan penyebab dia lari kerana sebelum ini kami pernah berselisih faham dan dia tidak pernah melarikan diri dari rumah.
“Laporan polis telah dibuat pada Ahad mengenai kehilangan Sin Ping dan saya berharap orang ramai yang mempunyai maklumat segera melaporkan kepada polis,” katanya.
Ding Bee Jin, 33, berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media yang diaturkan oleh Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn dalam usaha mengesan anaknya itu, di sini semalam.
Anak Bee Jin, Oh Sin Ping, 15, seorang pelajar Tingkatan Tiga dilaporkan hilang sejak seminggu lalu dikatakan dilihat jiran menaiki sebuah kereta yang dinaiki dua lelaki dan seorang perempuan kira-kira jam 11 malam, Jumaat lalu.
Kehilangannya disedari Bee Jin, selepas mendapati anak perempuan sulungnya dari lima beradik itu tiada di rumah di Kampung Sungai Batu, Pantai Remis di sini, ketika pulang daripada berniaga pada jam 4 pagi.
Bee Jin mengesyaki perkara buruk menimpa anaknya apabila Sin Ping menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) serta catatan laman sosial Facebook miliknya kepada guru dan rakan memaklumkan dia selamat dan tidak perlu risau.
“Apa yang dilakukan itu (SMS dan Facebook) itu bukanlah satu kebiasaan yang dilakukan Sin Ping. Saya cukup mengenali sikap dan perwatakannya.
“Tindakan Sin Ping yang tidak menjawab panggilan saya selepas berpuluh kali menghubunginya dan perbuatan menghantar SMS itu membuatkan saya merasa dia ditimpa sesuatu yang buruk,” katanya.
Sementara itu, Ko Youn meminta orang ramai membantu dalam pencarian mangsa dan segera menghubungi polis atau keluarga mangsa di talian 016-5584282 jika mempunyai maklumat mengenainya.
No comments:
Post a Comment