Thursday, July 21, 2011

Mak tolonglah kami’

ALOR GAJAH: “Emak, tolonglah usahakan supaya saya dan anak-anak boleh pulang semula ke Malaysia kerana sudah tidak tahan lagi tinggal di sini (Lombok). Tolonglah mak,” rayu Sanisah Abu Bakar, 36, yang terkandas di Lombok, Indonesia menerusi surat dikirim kepada ibunya, Salmah Mahmud, 71.

Sanisah bersama suami, Widodo, 40-an serta lima anak, Nurshahada, 14, Nurizwan, 12, Nurakma Najwa, 10; Nur Aliff Zulkarnain, 8 dan Nurain Asyikin, 5, dikatakan bercuti ke kampung suaminya di Lombok pada Mac 2002 sebelum terkandas menyebabkan mereka sekeluarga hidup merempat.


Salmah yang tinggal di Kampung Bukit Darat, Kuala Linggi dekat sini, berkata, dia sudah hilang malu memohon bantuan orang ramai bagi membawa pulang anaknya sekeluarga.

“Sudah puas saya berusaha mencari wang semata-mata untuk membawa mereka sekeluarga pulang semula ke sini. Jika saya orang berada, ia tidak menjadi masalah tetapi disebabkan orang miskin, pelbagai birokrasi timbul.


“Saya tidak pernah patah semangat membawa mereka pulang tetapi kemampuan terhad. Jika perkara ini dibiarkan, saya khuatir ia akan dilupakan dan segala janji ditabur pihak tertentu membantu kami hanya tinggal janji,” katanya di sini, semalam.


Menurutnya, empat tahun lalu, Tabung Bantu Sanisah diwujudkan pemimpin di kawasan itu bagi mengumpul dana untuk membawa pulang anaknya sekeluarga, namun hingga kini terhenti tanpa sebarang berita.

Katanya, dia terkilan kerana ada pihak sudi membantu keluarga lain senasib sedangkan kisah penderitaan anaknya sekeluarga seolah-olah tidak diambil berat. “Saya tidak tahu berapa kali rayuan dilakukan sejak mereka terkandas, namun hampa tiada tindakan diambil. “Selagi hayat dikandung badan, saya merayu pihak tertentu membantu membawa pulang mereka sebelum Ramadan dan Syawal kali ini,” katanya. Menurutnya, hasrat anaknya sekeluarga ke Lombok untuk menziarahi keluarga mentua bertukar mimpi ngeri apabila mengalami masalah kewangan untuk pulang ke Malaysia.


Katanya, mereka mengambil keputusan tinggal sementara di negara itu dan bekerja sebelum pulang ke Malaysia, namun hajat itu tidak kesampaian kerana hanya berjaya memperoleh pendapatan RM3.80 sehari. Salmah berkata, pelbagai pekerjaan dilakukan anaknya dan suami dalam usaha membolehkan mereka pulang ke Malaysia, namun kesempitan hidup menghalang mereka hinggakan cucunya hanya membawa bekal air kosong dan sekeping biskut sebagai alas perut serta berjalan hampir 20 kilometer untuk ke sekolah.

“Sedih...nak cari RM3 sehari pun susah menyebabkan kadang-kadang terpaksa berpuasa kerana tidak mempunyai wang. Cucu saya juga hanya minum air kosong dan bukan susu seperti kanak-kanak lain.


“Tiga hari lalu anak menghubungi saya dan memberitahu jatuh sakit. Pilu hati apabila dia memberitahu kalau boleh mahu mati di sini dan bukan di Lombok,” katanya.

myMetro | ‘Mak tolonglah kami’

No comments:

Post a Comment