Thursday, July 21, 2011

Polis tahan tiga lelaki disyaki curi barang pelancong Arab Saudi


GEORGE TOWN - Kerana mengingati nombor plat kereta teksi sapu yang dinaikinya, seorang pelancong dari Arab Saudi berjaya membantu polis memberkas tiga lelaki hari ini termasuk pemandu kenderaan itu kerana menyamun barangannya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata mangsa menaiki kereta teksi sapu itu di Jeti Swettenham pada Jumaat lepas.

Katanya kejadian itu berlaku apabila mangsa meminta pemandu teksi sapu itu berhenti di Jalan Penang untuk membeli air sebelum menuju ke hotel di kawasan berhampiran pada 11 malam.

"Ketika pelancong Arab Saudi itu keluar dari kereta untuk membeli air, pemandu kereta sapu itu kemudiannya memecut laju dan meninggalkan mangsa di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya mangsa kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan memaklumkan bahawa pemandu teksi sapu itu telah melarikan beg pakaiannya yang mengandungi pelbagai barangan berharga.

Beliau berkata berdasarkan maklumat mangsa yang mengingati nombor plat kereta sapu itu, polis berjaya menahan pemilik kereta sapu berkenaan di rumahnya di Bayan Lepas.

Bertindak atas siasatan susulan, polis kemudiannya menahan dua lagi lelaki di rumah masing-masing di Sungai Nibong dan Bayan Lepas serta menemui semula beg dan barangan milik pelancong Arab Saudi berkenaan.

Ketiga-tiga lelaki terbabit berusia antara 26 dan 42 tahun itu ditahan reman dan polis sedang mengesan seorang lagi suspek.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda ataupun kedua-duanya. - Bernama

SH

No comments:

Post a Comment