Thursday, July 21, 2011

Perhimpunan Haram : Polis nafi guna gas pemedih mata yang sama dengan Israel

LANGKAWI - Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan dakwaan pembangkang bahawa pihaknya menggunakan gas pemedih mata yang sama digunakan tentera Israel ketika perhimpunan haram 9 Julai lepas.

"Jangan mengadakan cerita kita (polis) pakai gas CS (Combined Systems) atau apa saja. Kita tak sampai tahap itu. Jangan nak mengadakan cerita," katanya selepas menyaksikan perlawanan ragbi Rujirawongse Cup antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Diraja Thailand (RTP) mengulas
mengenai laporan portal berita Keadilan Daily hari ini.

Antara lain laporan itu yang memetik kenyataan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat mendakwa Pasukan Unit Simpanan Persekutuan menggunakan kanister gas pemedih mata daripada jenis yang sama digunakan tentera Israel untuk memerangi rakyat Palestin.

Laporan turut mendakwa kanister yang dibekalkan oleh Combined Systems kepada tentera Israel itu mengandungi bahan kimia yang berupaya menjejaskan sistem saraf, kecederaan kepada mata, paru-paru dan penyakit kulit.

Laporan itu juga mendakwa kanister jenis yang sama pernah diharamkan dalam peperangan mengikut Konvensyen Senjata Kimia pada 1993.

Mengulas lanjut perkara itu, Khalid berkata beliau akan meneliti laporan portal tersebut sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

"Mana mereka belajar semua ini? Saya minta semua pihak jangan cakap ikut sedap mulut. Kalau tak tau jangan cakap kalau tak pasti jangan cakap. Jangan buat tuduhan-tuduhan," katanya.

Seterusnya beliau meminta semua pihak menghentikan perbincangan mengenai perhimpunan haram tersebut kerana tindakan itu boleh menimbulkan kerisauan pada kalangan masyarakat.

"Semua orang jangan bercakap baik orang politik atau sesiapa sahaja. Jangan mengeruhkan keadaan," katanya.

Mengulas perlawanan ragbi tersebut, Khalid berkata perlawanan persahabatan ragbi itu diadakan setiap tahun sejak 1961 dengan PDRM dan RTP bergilir-gilir sebagai tuan rumah bagi meningkatkan hubungan kedua-dua pasukan.

Pada perlawanan persahabatan hari ini, RTP mengalahkan PDRM 18-0. Hadir sama menyaksikan perlawanan itu adalah Timbalan Komisioner Jeneral RTP Adul Sangsingkeo dan Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim. - Bernama

SH

No comments:

Post a Comment