Thursday, July 21, 2011

Buruh diarah berkelakuan baik



IPOH – Seorang buruh diperintahkan supaya berkelakuan baik selama dua tahun dengan bon cagaran RM1,200 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam setelah mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki sebuah motosikal curi, Sabtu lalu.

Majistret Nurul Akmar Mustafa Kamal menjatuhkan hukuman itu ke atas Foong Wai Tat, 37, berdasarkan peruntukkan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah seperti yang disyorkan oleh Peguam Belanya, Ranjit Singh Sandhu yang mewakili tertuduh.

Wai Tat yang berasal dari Menglembu mengaku memiliki motosikal bernilai RM2,000 milik Azlina Ibrahim, 33, pada jam 4 petang, di kawasan tempat letak kereta Tesco Extra di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Ranjit Singh kemudiannya merayu supaya hukuman anak guamnya dikurangkan kerana mempunyai masalah kewangan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nor Abdurrahim memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran terhadap tertuduh.
SH

No comments:

Post a Comment