Thursday, July 21, 2011

Peroleh RM100 dalam 30 minit



BINJAI RENDAH - Durian menjadi salah satu makanan kegemaran sebilangan besar masyarakat di negara ini, namun tidak kurang juga yang kurang menggemarinya kerana bau mulut yang kurang menyenangkan selepas memakan raja buah itu.

Bagi bapa kepada lapan anak dari Sungai Serai di sini, Mamat Jusoh, 61, musim durian gugur adalah saat yang paling dinantikannya kerana aktiviti menjual durian menjadi salah satu sumber pendapatan utamanya ketika ini sejak lebih lima tahun lalu.

Mamat yang menjual durian di Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di hadapan Masjid Binjai Rendah di sini, berkata, durian yang dijual sentiasa laris malah ada antara pelanggan terpaksa pulang dengan tangan kosong kerana kehabisan stok.

Menurutnya, secara purata, antara 100 dan 200 biji durian dihantar kepadanya setiap hari oleh pembekal durian dari Johor sejak beberapa hari lalu dan jika pelanggan ramai dia mampu memperoleh pendapatan lebih RM100 dalam masa setengah jam sahaja.

“Sekiranya bekalan terlalu sedikit, saya terpaksa memesan durian kampung dari penduduk sekitar. Malah sejak mula menjual durian di hadapan masjid ini saya sudah mula mendapat keuntungan walaupun bermula dengan modal yang kecil sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, setiap longgok mempunyai lima biji durian yang dijual di situ berharga antara RM10 hingga RM30 selonggok bergantung pada gred ditetapkan, namun harga jualan masih boleh dirunding bergantung dengan berapa banyak longgok dibeli pelanggan.

“Lebih banyak mereka beli, lebih murahlah harga kami tawarkan tetapi ada juga segelintir pelanggan meminta potongan harga yang terlalu banyak dan tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kos belian daripada pemborong,” katanya kepada Sinar Harian.

Mamat berkata, walaupun berdepan dengan kerenah pelanggan yang berbagai-bagai, tetapi dia tetap tabah kerana menjual hasil pertanian dan buah-buahan adalah pekerjaan utamanya.
SH

No comments:

Post a Comment