Thursday, July 21, 2011

Dua kakitangan hotel suspek edar dadah



KOTA BHARU – Dua kakitangan sebuah hotel terkemuka di bandar ini termasuk antara lima suspek pengedaran dadah Malaysia-Thailand yang ditahan reman di Mahkamah Kota Bharu, di sini, semalam.

Perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek yang berusia 27 dan 48 tahun itu dibuat di hadapan Pendaftar Mahkamah Sesyen, Rozita Md Saat, di mahkamah tersebut.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, reman berkenaan berkuat kuasa tujuh hari bermula semalam sehingga 26 Julai ini.

“Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, kelima-lima yang ditahan aktif sejak empat bulan lalu menjadikan sebuah bilik di hotel tersebut sebagai transit menjalankan urusan jual beli dadah antara Malaysia dan Thailand.

Katanya, urus niaga tersebut membabitkan pelbagai jenis dadah termasuk yang ditemui anggota serbuan iaitu dua botol heroin; 235 pil Estasi; dua paket syabu; 140 pil kuda dan empat pil dadah jenis Eramime 5 bersama RM26,600 dan Baht Thailand, 640,000 (RM64,000).

“Mereka dipercayai akan mengedar sebahagian dadah tersebut ke serata Malaysia dan selebihnya akan dieksport ke Thailand. Mengikut nilai pasaran Kelantan keseluruhannya berjumlah RM60,000 dan harganya akan berganda jika dipasarkan di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di sini, petang semalam.

Susulan penahanan itu, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar setakat Jun tahun ini, namun operasi masih diteruskan bagi memburu rakan-rakan suspek yang terlibat.
SH

No comments:

Post a Comment