PETALING JAYA: Laporan eksklusif mengenai penderitaan orang Islam Rohingya di Myanmar yang dipaparkan sejak kelmarin bukan saja memberi kesan kepada masyarakat umum malah turut menarik perhatian rancangan pagi, Malaysia Hari Ini (MHI) untuk mengupas serba sedikit pengalaman penulis ketika berada di sana.
Pengacara rancangan terbabit, Ally Iskandar Mohd Mardzi berkata, pihaknya terpanggil mengundang penulis laporan khas itu, Ketua Pengarang Berita Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein kerana merasakan ia satu contoh laporan menyeluruh wajar dikongsi bersama penonton MHI.
“Sekarang kita dilambakkan dengan pelbagai jenis platform media termasuk berita yang saya rasakan kurang menyeluruh tetapi apa dibawa menerusi laporan eksklusif ini berbeza apabila menampilkan episod penderitaan dialami masyarakat Islam Rohingya yang tidak mendapat liputan meluas daripada media semasa antarabangsa.
“Pada saya, ia cara tepat untuk menzahirkan rasa prihatin dan sekali gus fokus kepada laporan eksklusif sebegini yang mendedahkan kesengsaraan masyarakat Islam yang hidup sebagai pelarian di Myanmar dan Bangladesh selain episod penderitaan masyarakat Islam dilaporkan di negara Timur Tengah seperti Palestin,” katanya yang ditemui di Sri Pentas selepas menemuramah Tuan Asri, di sini, semalam.
Beliau berkata, bagi mengubah dimensi laporan pemberitaan masa kini, ia wajar dijadikan asas dan contoh kepada semua media tempatan untuk mengorak serta mencorakkan lebih banyak berita bersifat menyeluruh serta berbentuk pendedahan berbanding apa disajikan sekarang.
“Saya merasakan ia artikel yang bagus dan berasa tidak sabar untuk mengetahui susulannya,” katanya.
Sementara itu, melalui segmen MHI semalam, Tuan Asri berkata, bermula dengan perasaan ingin tahu apabila menyedari laporan mengenai mereka amat kurang daripada media antarabangsa.
Menurut Tuan Asri, sebagai penggiat media, beliau berasa bertanggungjawab dan terpanggil mengupas lebih banyak perkara mengenai apa diketahuinya menerusi bahan tidak rasmi iaitu Internet.
“Selepas mendapat tahu kisah masyarakat Islam Rohingya sendiri menerusi pembacaan di Internet, saya ingin mengetahui sejauh mana kebenaran cerita ini dan sejak itulah saya mula mendapatkan kaedah serta cara untuk ke sana,” katanya.
Katanya, matlamat asal adalah memasuki kawasan benar-benar dilanda tragedi dahsyat itu, tetapi atas faktor keselamatan, beliau hanya sempat melawat lokasi dijamin selamat untuk diselidiki.
No comments:
Post a Comment