'Kami dah tiga hari tak mandi'
Penduduk yang terlibat mahu masalah bekalan air mereka diselesaikan segera.
KUALA LANGAT - Sedang warganegara seronok meraikan Hari Kemerdekaan kali ke-55 semalam, lain pula cerita lapan keluarga yang terpaksa tidak dapat mandi pagi akibat bekalan air dipotong Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Bekalan air yang sepatutnya disalurkan ke 28 unit rumah di Jalan Orkid, Kebun Baru dekat sini itu dipotong sejak tiga hari lalu akibat saluran paip dibina pemaju didakwa  tidak mengikut spesifikasi.

Akibatnya,  penduduk terpaksa menadah air hujan untuk mendapatkan sumber bekalan minuman dan keperluan harian lain seperti memasak dan membasuh.

Malah, mereka dihantui kebimbangan apabila pemaju seolah-olah mahu lepas tangan.

Penduduk, Hasni Mat Din, 36, berkata, dia turut mengalami nasib buruk apabila terpaksa memikirkan tiada bekalan air bersih di penempatan mereka.

“Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ialah terpaksa membiarkan saya sekeluarga tidak mandi malah bercadang tadah air apabila hujan turun.

“Jika tiada hujan berhari-hari, bekalan air yang ditadah akan habis menyebabkan penduduk terpaksa  mencari jalan alternatif mencari air,” katanya.


Bimbang kesihatan terancam

Keadaan itu katanya, menyulitkan aktiviti harian penduduk dan khuatir sekiranya kesihatan terancam.

"Ketiadaan air membuatkan hidup kami jadi rumit kerana bekalan air amat penting bukan sahaja untuk masak dan membasuh tetapi juga untuk membersihkan diri," katanya.

Seorang penduduk, Saliza Salleh, 37, berkata, dia kesal apabila pihak pemaju tidak mahu membantu menyelesaikan masalah berkenaan malah talian telefon juga dimatikan.

"Kami cuba hubungi beberapa kali namun gagal. Tiada apa lagi yang mampu kami buat selain menunggu mana-mana pihak yang simpati termasuk pemimpin setempat.

Selain masalah itu, perumahan berkenaan yang dibina secara berperingkat bukan sahaja terbiar malah kelengkapan seperti kabel, wayar, pintu ada yang dicuri pihak tidak bertanggungjawab.

“Keadaan ini merisaukan sebahagian penduduk yang tinggal di kawasan berkenaan kerana jika dibiarkan tidak mustahil rumah kami turut menjadi mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.


Mahu pemaju jumpa penduduk

Dalam pada itu, penduduk yang hadir melahirkan rasa kecewa dengan sikap pemaju yang suka memutarbelitkan sesuatu masalah.

Penduduk, Nora Abu Bakar, 33, berkata, penduduk amat mengalu-alukan perbincangan dengan pemaju bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.

"Perkara ini perlu segera diselesaikan. Disebabkan kelemahan mereka (pemaju), Syabas terpaksa memotong bekalan air dan kami pula terpaksa menanggung derita.

Dalam pada itu, penduduk terbabit turut meminta jasa baik Syabas untuk menyambung semula bekalan.

“Kami tidak kisah sekiranya dikenakan bayaran sekalipun tetapi ianya dapat menyelesaikan masalah kami,” katanya.

Nora berkata, walaupun tidak sampai tiga hari bekalan air dipotong lapan keluarga di sini sudah tidak senang duduk.

Malah, terdapat  keluarga yang mahu mengadakan rumah terbuka ketika cuti sambutan hari merdeka terpaksa ditangguhkan gara-gara ketiadaan air.

Bagi Fazly Mohd Top, 33 berkata, dia sedih kerana negara yang sudah mencapai 55 tahun kemerdekaan masih berhadapan dengan masalah tiada bekalan air.

Katanya, walaupun pihak Syabas menjalankan tugas tetapi tidak salah bertolak ansur untuk kepentingan rakyat.


Pemaju gagal dihubungi

Penyelaras Pembangunan Persekutuan Parlimen Kuala Langat, Datuk Sulaiman Mohd Karli, berkata, beliau bakal memanjangkan permasalahan penduduk selain membuat surat rayuan kepada Syabas.

Katanya, pemaju digesa supaya mengambil peduli masalah penduduk di sini kerana perumahan yang didirikan merupakan projek mereka dan seharusnya dijaga.

Sementara itu, wakil Syabas berkata, pihaknya tersebut membuat pemotongan bekalan air di perumahan berkenaan kerana pemaju gagal membina paip yang mengikut spesifikasi.

Kakitangan tersebut menjalankan prosedur seperti yang ditetapkan.

“Selain itu, Syabas berjanji akan menyediakan tangki statik kepada penduduk berkenaan selwat - lewatnya petang semalam, bagi ke kegunaan penduduk.

“Penduduk diharapkan bersabar, dan kita akan berusaha mencari jalan untuk mendesak pihak pemaju supaya terus tampil membantu,” katanya.

Usaha Sinar Harian untuk mendapatkan reaksi pemaju juga gagal kerana talian tidak berjaya dihubungi.