Seorang sahabat saya memberi petua,
“Untuk mendapatkan anak yang mudah dijaga, bacalah al-Quran 30 juzuk sepanjang tempoh kehamilan. Niatkan khatam untuk bayi dalam kandungan”.
Sahabat itu bercerita pengalamannya,
“Seseorang memberikan petua ini semasa saya hamil anak pertama namun saya tidak pernah amalkan. Saya masih membaca al-Quran namun tidak pernah khatam.
Ketika hamil anak ke 4, saya mula membaca al-Quran untuk janin dalam kandungan. Alhamdulillah, saya dapat khatam 30 juzuk sepanjang tempoh hamil 9 bulan. Bacaan-bacaan itu saya niatkan untuk bayi dalam kandungan.
Setelah ia dilahirkan, saya dapati bayi yang dibacakan al-Quran 30 juzuk lebih mudah dijaga berbanding 3 anak terdahulu.
Semasa bayi, dia tidak banyak meragam. Meskipun begitu, kita tetap harus bersedia melayani kerenah biasa seorang bayi yang merengek ketika mengantuk, lapar atau napkinnya basah.
Saya rasa sungguh berbeza mengasuh bayi yang dikhatamkan al-Quran dan yang tidak dikhatamkan”.
Saya tidak bertangguh untuk mengamalkan pesanan sahabat tersebut. Sejak hamil anak sulung, saya berusaha membaca al-Quran sehingga khatam 30 juzuk. Alhamdulillah, saya berjaya melakukannya meskipun sering berdepan dengan keadaan diri yang serba kekurangan. Kekurangan yang dimaksudkan ialah menguruskan rutin harian yang memakan banyak masa dan juga alahan semasa hamil.
Alhamdulillah, saya dapati anak-anak mudah dijaga semasa kecilnya. Meragam biasa-biasa itu adalah juga. Namun tidak pernah berdepan dengan anak-anak yang menangis berpanjangan. Sebagai seorang yang suka bermusafir bersama suami, anak-anak biasa di bawa berjalan jauh sejak mereka bayi. Ibu saya dan ibu mertua selalu bimbangkan anak-anak kami bila kami berjalan jauh. Mereka bimbang anak-anak menangis dan meragam tanpa henti. Alhamdulillah, sehingga saat ini, anak-anak selamat berada dalam lindungan Allah.
Semasa hamil anak kelima, saya tidak berjaya mengkhatamkan al-Quran kerana alahan dan keadaan diri yang semakin teruk. Saya mengalami alahan sehingga hampir waktu bersalin. Sementelah saya berada di Sydney lebih kurang 3 bulan pada bulan-bulan akhir kehamilan. Sydney pada masa itu musim dingin. Cabaran yang dihadapi adalah lebih besar.
Allah tahu saya berusaha membaca al-Quran sedikit demi sedikit dan mempunyai azam untuk mengkhatamkannya sebagaimana kehamilan yang lepas-lepas. Apakan daya, tanpa izinNya, saya tidak berdaya melakukanNya. Saya pasrah pada ketentuan Allah.
Alhamdulillah, anak kelima adalah paling mudah dilahirkan dan juga paling mudah dijaga.
Oh ya… saya tidak amalkan membaca surah-surah tertentu seperti Surah Maryam, Surah Yusuf, Surah Yasin dan lain-lain sebagaimana yang pernah diamalkan sesetengah orang. Saya belum menemui nas yang menyatakan kelebihan membaca surah tertentu semasa hamil. Sebaik-baiknya, bacakan semua al-Quran untuk janin dalam kandungan.
Sesungguhnya Allah itu amat memahami hamba-hambaNya.
Ummu Abbas
6.26pm
28 Muharram 1431H
sumber : sayangIslam.com
No comments:
Post a Comment