Sunday, September 2, 2012

MERDEKA SEBENAR YANG PERLU DIHAYATI.....



Telah dikirim oleh seorang sahabat (MR.Y) yang ilmunya ingin dikongsi dan disebarkan.

MENSYUKURI NIKMAT, MENGINSAFI AMANAT - Oleh : Dr Siddiq Fadzil

Bagi orang yang memahami makna dan harga kemerdekaan, 3l Ogos adalah tarikh istimewa. Justeru, pada hari itulah, lima puluh tahun yang lalu (1957) tercapainya cita- cita yang telah diperjuangkan turun-temurun sejak entah berapa keturunan. Sejarah merdeka bukan baru bermula pada pertengahan abad 20. Perjuangan heroik melawan penjajah sudah bermula seawal abad ke-16M dengan perang Melaka-Portugis. Sejak itulah darah dan air mata perjuangan tidak pernah berhenti mengalir. Tidak siapa berdaya menaksir berapa kawah darah yang tumpah dan berapa telaga air mata derita yang mengalir demi mempertahankan atau mendapatkan kemerdekaan. Harga kemerdekaan memang mahal tak ternilai, dan kerana itu harus dihargai secara yang benar-benar bermakna. Bagi umat beragama kemerdekaan adalah nikmat kurnia Tuhan yang wajib disyukuri dengan cara yang diredhai dan disenangi Penganugerahnya. Mensyukuri nikmat sebagaimana yang diajar oleh agama ialah menggunakannva dengan cara yang benar, dan tidak menyalahgunakannya. Dalam konteks nikmat kemerdekaan ia harus disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan semurni dan setulennya. Mudah-mudahan roh para pejuang yang gugur, bahagia dalam peristirehatan apabila pengorbanan dan perjuangan mereka menghasilkan umat merdeka yang benar-benar merdeka. Dengan semangat syukur nikmat sempena berlalunya setengah abad kemerdekaan, kita bermuhasabah, menilai diri, sudah sejauh mana kehidupan kita sebagai bangsa telah menepati makna merdeka.

Islam dan Makna Merdeka

Islam pada hakikatnya adalah agama pembebasan. Mesej liberatif-emansipatif agama Ilahi ini jelas terungkap dalam misi utamanya ikhraju ‘n-nasi mina ‘z-zulumat ila ‘nur. Dengan kata lain, risalah Islamiah dapat dirumuskan sebagai misi pembebasan dan pencerahan (tahririy-tanwiriy). Kerana itu kehadiran Islam dan gerakan pendakwahannya di mana-mana selalu dirasakan sebagai a liberating and enlightening force. Demikianlah citra agama ini di mata kaum peribumi rantau Melayu ketika berlakunya transformasi kemanusiaan dan revolusi kebudayaan dalam gerakan pengislaman yang memesat pada abad ke-13-16M. Ternyata pembebasan dalam konteks misi keislaman mencakupi bidang yang cukup luas, meliputi pembebasan daripada segala bentuk pembelengguan termasuk kemerdekaan daripada penjajahan. Memang al-zulumat adalah kata yang jami’ dan inklusif meliputi segala rupa bencana kemanusiaan: kesesatan, kebingungan, kejahilan, kebodohan, kebekuan, kemunduran, kebejatan, kegilaan, kezaliman, kecurangan dan lain-lain sejenisnya. Umat Islam harus dibebaskan dan dimerdekakan daripada segala bencana tersebut. Pembebasan (tahrir) dalam konteks misi pengislaman selamanya tidak terpisah daripada pencerahan (tanwir). Apalah erti bebas daripada suatu kegelapan, jika kemudiannya dijerumuskan ke dalam kegelapan yang lain.

Demikianlah hakikat bermulanya transformasi pengislaman dengan deklarasi kemerdekaan diri menerusi lafaz kesaksian syahadat ketauhidan la ilaha illallah yang membawa implikasi ketidakrelaan tunduk mengabdi kepada siapa pun dan apa pun selain Tuhan Yang Maha Esa. Sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Shaykh Muhammad al-Ghazaliy bahawa kalimat tauhid itu membawa implikasi penafian terhadap segala bentuk keberhalaan. Penolakan terhadap segala jenis pengabdian di bumi dan penegasan terhadap hak kebebasan (Muhammad Al-Ghazali, 2000:36). Justeru, manusia mukmin adalah manusia berjiwa merdeka yang sedar dengan ketinggian martabat keinsanannya, setia memelihara pesan, Innahu laysa li al-mu’min an yudhilla nafsah (Sungguh, tidak seharusnya seorang mukmin menghina dirinya sendiri). Semangat kemerdekaan tahririy-taghyiri-tanwiriy itulah yang tampaknya ditangkap dengan tepat oleh Za'aba ketika merumuskan makna merdeka sebagai perubahan, “... daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menyuburkan dia; daripada I’tiqad-I’tiqad yang serong dan terpesong kepada I’tiqad yang subur dan merdeka: daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”

Merdeka Berdasarkan Prinsip Karamah Insaniyyah

Merdeka pada hakikatnya adalah bahagian daripada kemanusiaan itu sendiri, sesuai dengan kurnia takrim dari Yang Maha Pencipta untuk makhluk jenis manusia seluruhnya. Kemuliaan yang diperoleh langsung dari Tuhan itu bukan deklarasi kosong, tetapi sarat dengan erti dan implikasi: kemerdekaan, kebebasaan, persamaan dan sejumlah hak serta keperluan asasi lainnya: yang tanpanya manusia kehilangan kemanusiaannya. Kerana itu manusia yang sedar dengan ketinggian martabat, maruah dan harga diri insan sebagai makhluk mulia memiliki kepekaan yang cukup tinggi terhadap apa jua gejala penghinaan terhadap manusia, baik dirinya sendiri atau manusia lain. Manusia yang berasa mempunyai maruah keinsanan tidak akan rela
kemerdekaannya dirampas, kebebasannya dibelenggu dan apa sahaja perlakuan yang meremehkan kemanusiaannya. Ternyata kemerdekaan terkait erat dengan maruah. Bagi manusia merdeka, maruah adalah milik termahal yang sentiasa dijaga dan dipelihara dengan penuh rasa cemburu. Kerana itu pula manusia merdeka tidak dapat menerima kehidupan yang tidak bermaruah, kehidupan yang tidak bermoral, kehidupan yang cemar dengan amalan keji dan jijik seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan, pemerasan, kepura-puraan, ampu bodek dan lain-lain sejenisnya. Lain halnya dengan hamba abdi yang diperlakukan bagaimana sekalipun – dihina, dibelenggu dan dimalukan, mereka tidak berasa malu dan tidak berasa kehilangan maruah kerana memang mereka tidak memiliki maruah.

Demikianlah, manusia berjiwa merdeka adalah manusia yang sedar dan peka dengan ‘izzat al-nafs atau maruah, harga diri dan kemuliaan martabat keinsanannya. Kesedaran dan kepekaan itulah yang memberinya rasa malu dan tahu malu. Rasa malu terkait dengan dignity seperti itulah yang dijelaskan oleh Syed Hussein Alatas.

What is meant here by the sense of shame is not shame associated with private and individual relations but a shame associated with the collectivity, with the conditions of one's fellow men. It is directed at elements threatening human welfare and dignity. ‘lt is undignified to have a dirty surrounding. It is undignified to live in a disorderly and haphazard manner. It is undignified to be subjected to petty corruption and rude treatment. It is undignified to be cheated of your rights. It is undignified to be governed by men with criminal minds, men who spend most of their time plotting to cheat and plunder the state.’
(Alatas, S.H., 1999: 113-114).

Majalah antarabangsa NEWSWEEK, 23 Julai 2007 memuatkan tulisan Melinda Liu berjudul Politics of shame pada halaman utama Periscope. Makalah pendek tersebut mengulas hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Zheng Xiaoyu, bekas ketua sebuah agensi kerajaan China, SFDA (State Food and Drug Administration), atas kesalahan meluluskan ubat-ubatan yang tidak diuji (untested) sehingga mengakibatkan kematian tidak kurang 10 orang. Kelulusan tersebut diberikan dengan bayaran (rasuah) $850,000. Kesalahan sedemikian membawa hukuman mati kerana kesan buruknya yang memalukan agensi berkenaan. Seperti yang dinyatakan oleh jurucakap pihak berkuasa Beijing, “Zheng has brought “shame” to his agency.” Mengenai kepentingan malu dalam masyarakat dan budaya Cina, makalah tersebut menyatakan, “Shame has always been a powerful force in China. Rooted in Confucian ethics, it often drives Chinese leaders to dispense tougher justice than is meted out for less-embarrassing crimes” Begitu tingginya tahap “tahu malu”" di kalangan mereka sehingga apabila seseorang disoal-siasat atas dugaan rasuah, cukup untuk menyebabkannya membunuh diri seperti yang dilakukan oleh seorang bekas ketua polis pada bulan Jun lalu. (NEWSWEEK, 23 Julai 2O07: 4).

Sifat malu sebenarnya menempati posisi teras dalam ajaran moraliti Islam, dan lebih daripada itu ia adalah manifestasi iman. Hadith dari Imam Malik menyebut, “setiap agama memiliki akhlaq, dan akhlaq Islam adalah malu" (likulli din khuluq, wa khuluq al-Islam al-haya”). Dalam Hadith lain disebut pula “malu adalah sebahagian daripada iman” (al-haya’min al-iman). Sifat malu yang tumbuh dari iman itu adalah sebahagian daripada disiplin dalaman yang dapat mengawal perilaku seseorang.

Apabila Tuhan sendiri mendeklarasikan martabat kemuliaan insan, ...dan sesungguhnya Kami memuliakan anak-anak Adam, bererti semua manusia sama mulianya, sama martabat keinsanannya, sama hak-hak kemanusiaannya, sama merdekanya dan sama bebasnya. Dari takrim ketuhanan itulah lahirnya dua prinsip utama yang sangat erat hubungannya: prinsip kebebasan (kemerdekaan) dan prinsip persamaan kemanusiaan. Seseorang itu tidak dapat dikatakan merdeka jika ia tidak mendapat pelayanan sebaik yang diterima oleh orang lain. Bagaimana mungkin kita dapat mengatakan seseorang itu merdeka andainya masih terbelenggu dalam sistem dan budaya hidup berkasta-kasta, masih mengamalkan feudalisme - baik feudalisme lama atau feudalisme baru, masih ada kelas atasan yang diistimewakan dan kelas bawahan yang didiskriminasikan. Merdekakah “orang kecil” seperti yang diperikan oleh seorang kiyai budayawan Indonesia, K.H.A. Mustofa Bisri dalam puisinya “ORANG KECIL ORANG BESAR”.

Orang kecil jika ikhlas diperas
Jika diam ditikam
Jika protes dikentes
Jika usil dibedil.

Orang kecil jika hidup dipersoalkan
Jika mati tak dipersoalkan

Lebih baik jadilah orang besar
Bagiannya selalu besar.

Orang besar jujur-tak jujur makmur
Benar-tak benar dibenarkan
Zalim-tak zalim dibiarkan.

Orang besar boleh bicara semaunya
Orang kecil paling jauh dibicarakan saja.

Orang kecil jujur dibilang tolol
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang kecil berani dikata kurangajar
Orang besar kurangajar dikata berani

Orang kecil mempertahankan hak
disebut pembikin onar
Orang besar merampas hak
disebut pendekar.

Prinsip persamaan kemanusiaan inilah yang ditegakkan oleh Rasulullah s.’a.w. sebagaimana yang terakam dalam sunnahnya - sabda dan amal nyata. Pada zamannya para penguasa rata-rata membina citra diri mereka sebagai maharaja keturunan dewa berasal dari dunia indera. Motif penciptaan imej yang menggerunkan seperti itu ialah untuk menjadikan rakyat jelata berasa kerdil dan hina diri. Pada suatu ketika seorang a'rabiy dibawa mengadap Nabi (s.’a,w.). Akibat terbiasa membayangkan imej para penguasa seperti di atas, a'rabiy tersebut kelihatan terketar-ketar ketakutan. Junjungan s.’a.w. yang cukup mengerti kenapa keadaannya menjadi seperti itu segera menenangkannya dengan berkata. “Bertenanglah, saya bukan maharaja, saya adalah anak seorang wanita Quraysh yang biasa makan daging kering”. Cara pengenalan diri seperti itu mengesankan sikap tawadhu'nya kepada Allah dan sekaligus rasa kedekatannya dengan umat. Junjungan s.’a.w menisbahkan dirinya kepada ibunya yang bercitra wanita rakyat biasa, tidak kepada datuk-datuknya yang bangsawan dan pembesar Quraysh. Demikianlah cara pengenalan diri yang mengesankan persamaan kemanusiaan.

Banyak peristiwa lain lagi yang membawa mesej yang sama, termasuk kejadian tertangkapnya seorang wanita yang melakukan kesalahan mencuri. Kabilah wanita tersebut cuba melobi al-Rasul s.’a.w. agar membebaskannya daripada hukuman dengan alasan wanita tersebut termasuk golongan bangsawan dalam kabilahnya. Peristiwa itulah yang melatari sabda Junjungan s.’a.w. yang mencerminkan ketegasan dalam penegakan prinsip persamaan kemanusiaan, ”Sesungguhnya telah hancur umat sebelum kamu (akibat amalan diskriminatif) apabila orang besar mencuri mereka biarkan, tetapi apabila orang kecil mencuri mereka hukum. Demi Allah, andainya (anakku) Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya aku potong tangannya”. Komitmen terhadap prinsip persamaan kemanusiaan diteruskan oleh para khalifah penggantinya seperti yang dilakukan oleh Khalifah Kedua, Amir al-Mu’minin ‘Umar ibn al-Khattab r.’a. terhadap anak Governor Mesir (‘Amr ibn al-‘as) yang memukul seorang Qibtiy semata-mata kerana ia (Qibtiy) telah memotongnya dalam satu perlumbaan. Khalifah telah menjatuhkan hukuman qisas ke atas anak Governor tersebut. Ketika pihak yang bersalah menprotes atas alasan ketidaksamarataan taraf , ‘Umar al-Khattab menjawabnya dengan nada yang cukul tegas, “Sejak bila kalian memperhambakan manusia, walhal semua mereka telah dilahirkan oleh ibu-ibu mereka sebagai anak-anak merdeka!”. Peristiwa lain yang juga banyak dirujuk dalam isu persamaan kemanusian ialah hukuman qisas yang dijatuhkan oleh ‘Umar ibn al-Khattab keatas Jabalah ibn al-Ayham. Raja Ghassan itu didapati bersalah kerana memukul seseorang (orang awam) yang secara tidak sengaja terpijak pakaiannya. Jabalah juga membantah hukuman qisas, undang-undang yang menyamakan raja dengan jelata. Sebagai raja yang berasa darahnya lebih istimewa, beliau tidak mahu disamakan dengan rakyat biasa. Bantahan itulah yang dijawab oleh ‘Umar (r.’a.) dengan satu lagi ungkapan yang cukup mengesankan, “Tetapi Islam telah menyamakan kamu berdua.” Demikianlah, kemerdekaan yang benar-benar bererti bagi orang kecil ialah apabila hak-haknya sebagai manusia mulia dihormati, sama seperti orang lain. Tetapi andainya masih berlaku amalan penghakiman diskriminatif, pendakwaan berpilih-pilih atau seumpamanya, bererti rakyat belum memperoleh kemerdekaannya.

Memang kemerdekaan adalah bahagian daripada keinsanan. Tetapi ia bukanlah kemerdekaan yang bererti kebebasan anarkis. Kebebasan dalam Islam selamanya terkendali dalam bimbingan prinsip-prinsip hukum dan nilai-nilai akhlak. Kerana itu sebagaimana yang disebut oleh al-Sakhawiy, “Islam memberikan kebebasan kepada manusia, dan sekaligus mengawalnya: dengan nilai akhlak agar tidak terlajak, dengan keadilan agar tidak menjadi pelaku kezaliman. Dengan kebenaran agar terhindar dari tarikan nafsu kebatilan, dengan kebaikan dan pengorbanan agar tidak bersikap egois annaniyah kesombongan...” (al-Zuhaykiy, 2000:41).
 

No comments:

Post a Comment