Friday, October 5, 2012

kenapa hingga kini pihak berkuasa enggan mendakwa Tan Sri Abdul Taib Mahmud,

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak mendesak Datuk Seri Najib Razak menjawab kenapa hingga kini pihak berkuasa enggan mendakwa Tan Sri Abdul Taib Mahmud, walaupun pelbagai bukti menunjukkan Ketua Menteri Sarawak itu terlibat rasuah dan salah guna kuasa.

Ketuanya, Ahmad Nadzib Johari berkata, Perdana Menteri perlu menjelaskan mengapa tiada sebarang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), polis dan pihak berkuasa lain terhadap Taib walaupun beberapa laporan rasuah telah dibuat.

“Saya pernah membuat laporan di SPRM Sarawak pada 2009 dan membuat laporan susulan pada 2010, namun jawapan diberi tetap sama, ‘siasatan sedang berjalan’.
“Kali terakhir pada 2011, mereka beri alasan ‘tidak boleh mengulas lebih-lebih’ kerana ia kini diambil alih SPRM Putrajaya, maka sudah tiba masanya Najib buka mulut dan jawab,” katanya ketika dihubungi.

Kata Nadzib, keengganan Najib mengheret Taib ke mahkamah kerana beliau masih menaruh harapan kepada Pengerusi BN Sarawak itu bagi membantu kemenangan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Najib sebenarnya takut, namun pada masa sama beliau masih percaya Taib akan membantu BN menang di Sarawak pada PRU akan datang.
“Dengan kekalnya Taib sebagai Pengerusi BN Negeri akan memudahkan laluan Pakatan Rakyat untuk menawan lebih banyak kerusi pada PRU kali ini,” katanya.
Pada 19 September lalu, NGO yang berpangkalan di Switzerland, Bruno Manser Fund (BMF) mendedahkan aset keluarga Taib sebanyak AS$21 bilion (RM64 bilion).
Kekayaan Taib sahaja dianggar AS$15 bilion (RM46 bilion), sekaligus menjadikannya lelaki terkaya di Malaysia, mengatasi hartawan Robert Kuok dengan aset AS$12.5 bilion.
Laporan berjudul “The Taib Timber Mafia: Facts and Figures on Politically Exposed Persons from Sarawak, Malaysia” dikeluarkan di Brussels pada hari sama Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok melawat Suruhanjaya Eropah.

Ia laporan pertama mengupas perincian aktiviti perniagaan dan kekayaan peribadi 20 ahli keluarga Taib di Malaysia, Australia, Kanada, Hong Kong, United Kingdom, Amerika Syarikat dan lain-lain negara.

Mengulas lanjut, Nadzib berkata, kekayaan luar biasa Taib itu menunjukkan betapa teruk rasuah melibatkan Ketua Menteri paling lama di Malaysia itu.
“Lebih 30 tahun memerintah, terbukti kekayaan negeri hanya dibolot keluarga dan kroni beliau, namun majoriti rakyat Sarawak kekal miskin, malah negeri ini antara yang termiskin di Malaysia.

“Selaku penjawat awam, mana mungkin beliau meraih kekayaan luar biasa sebegitu sedangkan gajinya kurang RM25,000 sebulan,” kata Nadzib lagi.

sumber: http://www.keadilandaily.com/?p=36429

No comments:

Post a Comment