MILAN: Bekas Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi, menafikan ada permainan seks ketika dia mengadakan pesta di vilanya ketika memberi keterangan kali pertama di depan hakim, semalam.
Kata Berlusconi, segala yang berlaku di kediaman mewahnya di Costa Smeralda, Sardinia, dilihat kakitangan yang ada di situ.
“Sesekali, anak-anak saya juga datang bertanya khabar,” katanya. Berlusconi, 76, memberi keterangan di mahkamah Milan yang padat dengan orang ramai yang terbahagi kepada dua kumpulan - penyokong atau penentangnya.
Dia didakwa mengadakan parti “bunga bunga” dan mengadakan hubungan seks dengan penari kelab malam kelahiran Maghribi, Karima El Mahroug yang lebih dikenali dengan gelaran Ruby Si Pencuri Hati.
Berlusconi juga didakwa memberi wang dan barang kemas kepada Karima sebagai upah melayan nafsu seksnya pada 2010.
Karima ketika itu berusia 17 tahun dan mengikut undang-undang Itali, dilarang menerima bayaran bagi perkhidmatan seks. Pendakwa juga mengaitkan Berlusconi dengan salah guna kuasa apabila mempengaruhi polis membebaskan Karima yang ditahan atas kesalahan mencuri gelang bernilai RM11,900.
Dalam perbicaraan semalam, Berlusconi sekali lagi menuduh pendakwa sengaja menjalankan kempen bermotif politik ke atasnya, serta mempertahankan wanita yang dibabitkan dalam skandal berkenaan. “Perbicaraan ini mencemar mereka dan ia adalah detik paling sukar kepada wanita terbabit,” katanya. Mengenai dakwaan salah guna kuasa, Berlusconi berkata, dia tidak memberi sebarang tekanan kepada polis untuk membebaskan Karima.
Berlusconi mendakwa Karima anak saudara Hosni Mubarak yang ketika itu menjadi Presiden Mesir. Berlusconi meletak jawatan November lalu tetapi berkali-kali membayangkan untuk kembali berpolitik.
Namun, bulan ini, dia berkata mungkin tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang. - Reuters
No comments:
Post a Comment