BEIRUT 19 Okt. - Pemberontak, hari ini mendakwa tentera Syria menggunakan bom kluster ketika melancarkan serangan udara ke atas kubu pemberontak di bandar Maaret al-Numan, wilayah Idlib.
Dakwaan itu dibuat selepas berpuluh-puluh butir bom itu yang gagal meletup, ditemui di kawasan serangan.
Peluru tersebut mempunyai tulisan Cyrillic yang biasa digunakan oleh beberapa negara Eropah Timur termasuk Rusia, sekutu utama Presiden Bashar al-Assad.
Ahad lalu, Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia (SOHR) mengeluarkan kenyataan menuduh tentera udara Syria menggunakan bom kluster bagi menumpaskan pemberontak, termasuk di kawasan yang didiami penduduk awam.
Tentera Syria, bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dengan mendakwa mereka tidak memiliki senjata itu.
Kumpulan pemberontak sebelum ini melancarkan serangan besar-besaran ke atas kem tentera Wadi Deif, yang juga merupakan tempat simpanan kereta kebal dan minyak.
Sebanyak 250 askar mempertahankan pangkalan terbabit selama beberapa hari.
Dalam situasi lain, Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi tiba di Damsyik, hari ini bagi merundingkan gencatan senjata sementara menjelang sambutan Aidiladha, minggu depan.
Pegawai Syria berkata, Brahimi akan bertemu Menteri Luar Syria, Walid al-Moallem, esok bagi membincangkan hal tersebut.
Pemimpin itu minggu ini mencadangkan gencatan senjata diadakan di Syria, sepanjang perayaan Aidiladha yang akan bermula pada 26 Oktober ini. - AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121020/lu_01/Tentera-Syria-guna-bom-kluster#ixzz29uIy3RqY
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment