Mohd Sayuti Omar, | 20 Okt 2012 |
Penegasan Presiden Umno Mohd Najib Razak dalam sidang akhbar selepas mesyuarat MT hari ini di mana ahli Umno yang khianati parti dan sabotaj calon Umno tidak akan dibenarkan bertanding dalam pilihan raya, penegasan ini menyebabkan ahli parlimen Pasir Mas akan mati sambil berdiri - 'mati dalam cacang'.
Penjelasan Najib itu menamatkan teka teki yang kononnya Umno akan memberi laluan kepada ahli parlimen itu bertanding atas tiket BN dalam pilihan raya umum nanti. Beliau diuar-uar akan diberi bye oleh Umno. Sebelum ini konco-konco ahli parlimen berkenaan sudah menyebarkan berita kemungkinan itu. Bahkan kononnya sudah ada kata putus dan surat hitam putih ditanda tangani oleh Najib memberi laluan itu.
Alasan Najib kononnya memberi laluan dia bertanding atas tiket BN kerana ahli parlimen berkenaan dikatakan akan menang mudah kerusi Pasir Mas dan kemenangan itu akan membantu BN untuk mengekalkan kuasa pemerintahan. Kononnya juga tiga buah kerusi Dun di dalam Pasir Mas iaitu Chetok, Pengkalan Pasir dan Tendong akan menang dengan mudah. Kemenangan kerusi-kerusi itu boleh membantu Umno untuk menumbangkan kerajaan Pas Kelantan.
Ketiga-tiga kerusi berkenaan kini dimiliki oleh PAS.
Seperti mana dijelaskan Najib dalam sidang media lewat petang semalam, sebuah jawatankuasa khas untuk mengambil tindakan ke atas pengkhianat parti itu akan dibentuk yang dipengerusikan oleh veteran Umno Tengku Ahmad Rithaudden Tengku Ismail.
Jika dinilai dari definisi pengkhianatan seperti mana disebut Najib itu, dia bukan saja melakukan satu pengkhinatan ke atas Umno tetapi lebih dari dua kali. Beliau pernah berlawan dengan calon Umno dalam tahun 1990 apabila bertanding atas tiket Semangat 46. Pada tahun 2004 sekali lagi mengkhianti calon Umno apabila dia bertanding atas tiket Bebas menggunakan lambang payung berwarna kuning.
Ekoran tindakan itu beliau telah dipecat dari Umno menerusi peraturan dan undang-undang mana-mana ahli Umno yang mensabotaj calon Umno, melawan dalam pilihan raya akan dipecat atau keahliannya akan gugur secara automatik. Ekoran itu tahun 2008 beliau bertanding atas tikit lambang bulan atas ehsan PAS dan menang.
'Kelancauan' ahli parlimen berkenaan selepas beliau menang atas tiket PAS beliau cuba untuk 'terak' (masuk) Umno semula. Berbagai usaha dilakukan termasuk berbaik-baik dengan isteri presiden Umno dan sanggup mencium tangan bukan mahram, malangnya tidak berhasil. Satu sumber ibu pejabat Umno memberi tahu sudah lebih tujuh bulan temujanji dibuatnya untuk berjumpa dengan Najib Razak tidak dilayan.
Katanya dia juga cuba menggunakan beberapa pemimpin Umno bahagian Pasir Mas untuk membawanya kembali semula ke pangkuan Umno. Antara orang yang berusaha ialah bekas Adun di salah kerusi di Pasir Mas bekerja keras untuk membawa semua ahli parlimen itu masuk. Sekali lagi malangnya usaha bekas Adun itu yang merupakan 'ayam didik' ahli parlimen berkenaan, tidak berhasil dan beliau sendiri dicurigai oleh ahli Umno Pasir Mas.
Umno Pasir Mas juga telah menutup rapat pintu terhadap ahli parlimen berkenaan, bukan itu saja 'rebak onak dan duri' diletak di jalan menuju ke pejabat Pasir Mas untuk memastikan ahli parlimen berkenaan tidak akan mendatangi pejabat Umno untuk bersandiwara bagi memastikan dia diterima.
Dengan ketegasan Najib dan Umno bahagian Pasir Mas itu marilah kita tunggu dan tengok apa yang bakal berlaku dalam pilihan raya akan datang. Kalau ahli parlimen itu tetap mahu menunjukkan bisanya bertanding, beliau boleh pilih satu dari 20 cogan (lambang) yang dibenarkan untuk diguna oleh orang-orang tidak berparti sebagai lambang dalam pilihan raya.
Sebelum ini cogan bebas ternyata tidak membawa tuah kepada ahli parlimen berkenaan bahkan lambang bebas pernah menghilangkan wang pertaruhannya. Apakah peristiwa malang itu akan berlaku nanti? Kalau berlaku ia tidak memeliklah bahkan baru padan dengan muka! Apakah Pasir Mas akan kebanjiran dengan air mata, tunggulah nanti. -http://msomelayu.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment