Saturday, October 20, 2012

Pemilik radio bebas Kemboja dipenjara



MAM Sonando menunjukkan tanda 'Aman' ketika dikawal oleh anggota polis semasa hadir pada perbicaraan kes di mahkamah di Phnom Penh.
SEBUAH mahkamah di Kemboja menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang pemilik stesen radio bebas atas tuduhan memulakan pemberontakan dalam kalangan penduduk sebuah kampung di timur negara tersebut pada Mei lalu.
Mam Sonando, 70, juga didenda 10 juta riel (RM7,641) atas tuduhan menghasut penduduk-penduduk kampung di wilayah Kratie untuk menubuhkan negara mereka sendiri.
Hakim Chaing Sinat dari sebuah mahkamah di Phnom Penh berkata, Sonando disabitkan bersalah atas empat tuduhan berkaitan pergerakan penyokong pemisahan di timur Kemboja dan mengapi-apikan pemberontakan bersenjata.
Beehive Radio milik Sonando merupakan salah sebuah stesen radio yang sering menyiarkan kritikan terhadap kerajaan Perdana Menteri, Hun Sen.
Isteri Sonando, Din Sophanara, memberitahu pemberita, mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut. Menurutnya, suaminya tidak terlibat dalam pemberontakan itu dan tidak melakukan sebarang kesalahan.
''Tidak ada demokrasi yang sebenar di Kemboja. Tiada keadilan,'' kata wanita tersebut seperti yang dipetik oleh agensi berita asing, Associated Press (AP).
Tiga individu lain yang dikatakan terbabit dalam pergerakan politik itu bersama Sonando dan dituduh sebagai dalang utama kepada pemberontakan berkenaan juga dijatuhi hukuman tanpa kehadiran mereka.
Salah seorang daripada mereka menerima hukuman penjara 30 tahun, manakala dua lagi rakannya, masing-masing dihukum penjara 15 tahun.
Berpuluh-puluh anggota keselamatan dikerah mengawasi jalan raya di hadapan kompleks mahkamah ketika keputusan itu diumumkan. Laluan ke mahkamah tersebut juga ditutup ekoran demonstrasi jalanan ratusan penyokong Sonando.
Difahamkan tiada keterangan dikemukakan semasa perbicaraan yang mengaitkan Sonando dengan pergolakan melibatkan pertelingkahan tanah di wilayah Kratie yang didakwa kerajaan telah mencetuskan pemberontakan.
Sonando yang pernah dihukum penjara sebanyak dua kali ekoran laporan berita yang dihasilkannya sebelum ini, merupakan presiden pergerakan pro-Demokrasi dan pengkritik Hun Sen yang memerintah negara tersebut sejak 1985.
Pada pertengahan tahun ini, Hun Sen mengarahkan penangkapan Sonando dan menuduhnya mengetuai rancangan untuk menggulingkan kerajaan serta menubuhkan sebuah negara baru.
Sabitan hukuman itu disifatkan oleh kumpulan-kumpulan hak asasi manusia sebagai sebahagian daripada kempen berterusan kerajaan terhadap pengkritik-pengkritiknya.
Kumpulan hak asasi manusia itu turut mendakwa pertempuran dengan pasukan tentera berlaku disebabkan penduduk kampung memprotes tindakan syarikat-syarikat besar merampas tanah yang diusahakan mereka.
Pertelingkahan itu melibatkan tanah ladang konsesi seluas 15,000 hektar yang diberikan oleh syarikat Rusia kepada penduduk-penduduk kampung di wilayah terbabit.
Peladang-peladang terbabit nekad menentang pengusiran oleh syarikat-syarikat berpengaruh itu yang ingin mengambil alih tanah tersebut dengan jumlah pampasan yang sangat kecil atau tanpa pampasan langsung diberikan.
Dalam kejadian pada Mei lalu, seorang budak perempuan berusia 15 tahun ditembak mati apabila beratus-ratus anggota polis yang bersenjata menyerbu penempatan mereka.
Selepas selesai prosiding pada 1 Oktober lalu, Sonando ketika dibawa masuk ke dalam van penjara sempat berkata, dia tidak mempunyai sebarang ulasan terhadap keputusan mahkamah itu tetapi gembira kerana 'dapat membantu negara'.
''Saya gembira saya dapat membantu negara,'' katanya kepada pemberita semasa meninggalkan pekarangan mahkamah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121020/lu_10/Pemilik-radio-bebas-Kemboja-dipenjara#ixzz29uIfKKUb
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment