Thursday, October 25, 2012

'Jangan biar politik atasi agama'

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor, Mazlan Abdullah
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan
 Agama Islam Selangor, Mazlan Abdullah

HARI Raya Aidiladha sering dikaitkan dengan ibadah korban. Tetapi sejauh manakah pengertian ibadah ini mampu diselami masyarakat terutama sekali golongan muda? Semakin ramai anak muda kini yang tidak begitu faham hukum serta hikmah yang terkandung dalam ibadah ini.
Tanpa kita sedari ibadah korban yang dituntut agama ini mengandungi seribu satu hikmah terutama sekali dapat mempereratkan lagi hubungan saudara sesama Islam dan dalam masa yang sama ia melatih kita bersyukur terhadap nikmat yang diberi ALLAH SWT.
Bukan itu saja. Ibadah korban ini juga dapat dikaitkan dengan perpaduan ummah. Umum mengetahui yang perpaduan di kalangan orang Melayu Islam negara ini seakan-akan mula goyah disebabkan berlainan fahaman politik. Bagaimana ibadah ini mampu mengubah dan menstruktur semula umat Islam negara ini?

Ikuti wawancara Sinar Harian Online bersama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mazlan Abdullah membincangkan secara lebih mendalam mengenai ibadah korban, hikmah serta bagaimana ibadah ini secara tidak langsung mampu membangun ummah.

SINAR HARIAN ONLINE: Hari Raya Aidiladha juga dikaitkan dengan ibadah korban, boleh ustaz jelaskan secara terperinci  pengertian ibadah korban?
MAZLAN:
 Terdapat dua pengertian sebenarnya. Pengertian dari segi bahasa ialah sesuatu yang dikorbankan kerana ALLAH dan dari segi syarak pula, korban bermaksud menyembelih binatang tertentu pada masa-masa tertentu dengan niat mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

ALLAH SWT berfirman dalam Surah Al-Kauthar yang membawa maksud, “maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelilah qurban sebagai tanda syukur. Jelas di sini yang ibadat ini membawa makna yang begitu besar sekali bagi mensyukuri nikmah rezeki yang diberi oleh ALLAH SWT. Selain itu, jika kita melakukan korban, binatang yang kita korbankan itu juga akan menjadi tunggangan kepada sesiapa yang melakukan ibadah ini bagi memudahkan perjalanan di silatur mustaqim di hari akhirat nanti.
Selain dari itu, jika ada yang tidak tahu, ibadah ini juga menjadi salah satu penghapus dosa atau menjadi kifarah bagi pelakunya disebabkan dosa dan kesilapan lalu di samping memberi kelegaan kepada orang yang melakukan ibadah ini dan juga keluarganya.

SINAR HARIAN ONLINE: Apakah hukum melakukan ibadah korban ini? Bagaimana pula binatang yang boleh digunakan dalam melakukan ibadah ini?
MAZLAN:
 Hukum melakukan ibadah ini ialah sunat muaakkad iaitu sunat yang sangat dituntut bagi sesiapa yang berkemampuan. Terdapat enam jenis binatang yang boleh digunakan sebagai korban iaitu yang paling utama, pertama ialah unta, kedua lembu, ketiga kerbau, keempat kambing, kelima kibas dan keenam biri-biri.
Ini biasa kita dengar mengenai jenis binatang tetapi binatang yang akan dijadikan korban juga mempunyai syarat-syarat tertentu. Binatang yang akan menjadi korban mestilah tidak buta, tidak cacat seperti kudung kaki, putus kaki dan sebagainya. Paling afdal binatang yang akan dijadikan korban ialah gemuk, bertanduk dan jantan.
Ada juga yang bertanyakan kepada saya selain dari binatang yang disebutkan tadi, binatang seperti kijang, zirafah atau seladang boleh digunakan dalam ibadah korban atau tidak. Jadi saya ingin tegaskan di sini, binatang seperti ini tidak termasuk dalam binatang yang boleh dijadikan korban kerana sifatnya yang liar dan tidak jinak. Jika dijadikan korban, ia akan dikira sebagai sembelihan biasa saja.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pula dengan hukum makan daging korban? Sesetengah masyarakat ada yang silap faham mengatakan daging korban tidak boleh dimakan bagi yang melakukan korban? Adakah benar?
MAZLAN:
 Benar, tetapi jangan salah faham pula di sini. Orang yang melakukan ibadah ini tidak boleh memakan daging binatang korban jika mereka melakukan kurban wajib iaitu jika bernazar. Jadi jika ia bernazar melakukan korban, maka wajib menyedekahkan semuanya sekali, tidak boleh makan.
Jika korban yang dilakukan bukan sebab nazar maka, bolehlah ia dimakan. Pembahagian daging korban adalah begini, 1/3 sunat dimakan oleh orang yang melakukan ibadah ini, 1/3 lagi diberi kepada fakir miskin dan lagi 1/3 pula diberi kepada orang kaya. Jika berkemampuan, buatlah ibadah korban ini setiap tahun kerana terlalu banyak fadilat serta ganjarannya.


SINAR HARIAN ONLINE: Ada hukum lain mengenai ibadah ini yang mahu ustaz terangkan?
MAZLAN: 
Ya, ada beberapa lagi yang perlu saya terangkan  iaitu mengenai syarat sah ibadah korban hendaklah binatang yang tidak mempunyai sebarang kecacatan atau boleh memudaratkan kesihatan jika memakan dagingnya, disembelih oleh orang Islam, korban juga dalam masa tertentu iaitu selepas sembahyang hari raya haji pada 10 Zulhijjah hingga sebelum terbenam matahari iaitu pada 13 Zulhijjah. Syarat yang terakhir pula ialah orang yang berkongsi mengorbankan unta atau lembu tidak lebih dari tujuh orang di mana masing-masing menyumbang 1/7 bahagian.
Antara syarat mereka yang dituntut mengerjakan ibadah ini ialah Islam, merdeka, akil baligh, bermukim dan berkemampuan.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana ibadah ini boleh diterjemahkan dan bagaimana mahu menyemat erti pengorbanan terutama sekali di kalangan remaja. Kerana ibadah ini simbolik juga kepada pengorbanan nabi kita pada suatu masa dahulu.
MAZLAN:
 Umum mengetahu yang tidak ramai remaja masa kini yang terdedah dengan ibadah ini. Ada juga yang tidak mahu ambil pusing dan mengambil mudah mengenai ibadah walaupun hakikatnya ibadah ini bukan saja terhad mengorbankan binatang tetapi terdapat pelbagai hikmah di sebalik ibadah ini.
Jadi apa yang saya mahu tekankan di sini ialah walaupun dari pandangan mata kita ibadah ini terhad kepada mengorbankan binatang tetapi masyarakat kita khususnya kepada remaja mereka harus tahu yang hikmah di sebalik ibadah ini terlalu besar. Ini kerana ibadah ini juga mempunyai kaitan dengan pengorbanan yang seharusnya remaja tahu ertinya.
Jika tidak mampu berkorban wang ringgit demi menjayakan ibadah ini, para remaja di luar sana boleh mengorbankan dan menyumbangkan tenaga mereka dalam menjayakan ibadah ini. Itu dari segi ibadah yang ini. Tetapi, jika kita lihat di masa sekarang, ramai remaja yang mengambil lewa keadaan sekeliling  mereka, tidak ambil endah mengenai masa depan dan pengorbanan yang dilakukan keluarga.
Jadi, saya mahu menyeru para remaja di luar sana supaya sedia berkorban untuk keluarga tersayang. Harus diingat jika kita menghadapi kesusahan, tempat pertama yang kita mengadu selain dari ALLAH SWT ialah keluarga kita. Mereka yang akan mengambil berat dan cuba menyelesaikan sebarang masalah jika kita ditimpa sebarang kesusahan.
Jadi, jika anda sebagai anak, korbankanlah sedikit waktu untuk membantu ibu bapa jika mereka memerlukan bantuan. Tanpa ibu bapa, siapalaj kita sebagai anak. Pengorbanan yang mereka  lakukan dalam membesarkan kita tidak terbalas jasanya. Jadi jika ibu bapa meminta pertolongan, jangan memberi seribu satu alas an dikhuatiri akan derhaka. Korbankan sedikit masa dan kelapangan walaupun sesibuk mana kita sekalipun. Jika mampu, korbankan sedikit wang ringgit bagi meringankan beban yang terpaksa dihadapi ibu bapa. Jika ibu bapa sakit, sedialah mengorbankan masa bagi menjaga mereka. Selagi kita ada peluang, gunakanlah sebaik-baiknya bagi menjaga kedua ibu bapa kita selagi mereka bernafas.

SINAR HARIAN ONLINE: Pandangan ustaz berhubung remaja kini yang semakin alpa dengan ibadah ini?
MAZLAN: 
Walaupun semakin ramai yang mula alpa mengenai ibadah ini, kita tidak terlalu terlambat untuk mendidik mereka. Apa yang penting ialah peranan ibu  bapa sendiri dalam memberi pendidikan ibadah kepada anak-anak sedari kecil lagi. Ajaklah anak-anak pergi melihat dan merasai pengalaman mahu menguruskan ibadah ini. Peranan ibu bapa yang palinng penting sekali. Ajak mereka pergi ke kuliah-kuliah agama untuk mendekatkan diri lagi dalam mendalami ibadah dalam agama kita.
Didiklah anak-anak mengikut lunas-lunas Islam yang dituntut. Jika sedari kecil lagi anak-anak didedahkan dengan ibadah ini, mereka sendiri akan menyedari betapa pentingnya ibadah ini di samping hikmah-hikmah dan ganjaran yang terlalu besar dapat dikutip jika melakukan ibadah ini.
Kadangkala, remaja tidak ada hala tuju yang jelas jadi keluarga terdekat yang perlu didik. Kalau boleh, biarlah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.
Remaja di luar sana mesti merasai sendiri dan menghayati erti korban ini. Jika generasi muda tidak tahu asas ibadah ini, bagaimana mereka mahu berdepan dengan situasi akan datang? Sampai bila mahu terus bergantung kepada ustaz dan golongan emas yang kerapkali melakukan ibadah ini?
Jadi sebagai remaja, mereka sendiri harus bertanggungjawab dan perlu menanam satu azam dalam diri supaya belajar untuk mendalami ilmu agama di samping terus istiqamah jika mahu belajar mendalami ilmu agama yang menjadi teras dalam kehidupan.
Erti pengorbanan sendiri mencakupi makna yang cukup meluas dan ini yang harus dipegang oleh remaja supaya kehidupan duniawi dan akhirat stabil, bukan fokus kepada duniawi sahaja.
Contoh lain, ada anak-anak atau remaja di luar sana yang tidak tahu mahu uruskan jenazah. Bayangkan jika ibu bapa sendiri meninggal dunia, orang lain pula yang perlu uruskan jenazah ibu bapa mereka, dalam agama yang paling afdal menguruskan jenazah ibu bapa ialah anak-anak mereka sendiri. Ini yang kita mahu elakkan berlaku di kalangan masyarakat kita.


SINAR HARIAN ONLINE: Apakah usaha Jais menyemai semangat pengorbanan dan cara mahu memberi kesedaran kepada remaja pentingnya ibadah korban ini?
MAZLAN:
 Setakat ini setiap tahun pihak Jais akan menganjurkan ibadah korban ini di setiap masjid dalam negeri. Jadi tidak menjadi masalah jika sesiapa yang mahu menyertai.
Jika menghadapi masalah kewangan, saya nasihatkan supaya menabung sejak awal. Tabung sedikit pun tidak apa apa yang penting niat kita itu dan menabung juga harus istiqamah. Jadi tidak timbul soal tidak ada wang untuk melakukan ibadah ini.
Pihak masjid atau surau juga boleh mengambil tindakan sendiri. Pada pandangan saya, masjid dan surau juga boleh adakan tabung khusus bagi ibadah korban jadi apabila sudah tiba masa, tiada lagi kekangan kewangan terutama sekali kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Pihak Jais sendiri akan terus mengadakan acara memberi ceramah bagi memberi input kepada masyarakat di luar sana bukan saja mengenai ibadah korban tetapi juga ibadah lain. Ini merupakan usaha murni pihak kami bagi memberi pendedahan kepada orang ramai.
Setakat ini sambutan kepada semua program yang kami adakan amat menggalakkan. Dari situ, saya dapat rasakan kesedaran untuk mendalami ilmu agama ini semakin mendalam di kalangan masyarakat kita. Jadi usaha murni sebegini memang kami akan teruskan.
Setakat yang saya tahu, setiap masjid di negeri ini akan melakukan korban sekurang-kurangnay 10 ekor bagi setiap negeri masjid di Malaysia. Saya sendiri berpengalaman bekerja di Jakim, jadi ini jelas menunjukkan sambuntan yang menggalakkan diterima setiap tahun dalam menjayakan ibadah ini.
Di samping dapat bekerjasama dalam melakukan ibadah ini, kita juga dapat memupuk semangat perpaduan yang tinggi di kalangan masyarakat. Ini merupakan salah satu hikmah yang dapat kita rasai jika melakukan sunat yang dituntut dalam agama ini.
SINAR HARIAN ONLINE: Ustaz menyatakan mengenai perpaduan dapat diperkukuhkan jika ibadah ini dilakukan. Bagaimana pula ustaz melihat kurangnya atau runtuhnya perpaduan di kalangan umat Islam disebabkan berbeza fahaman politik?
MAZLAN:
 Seperti yang saya jelaskan tadi, dalam ibadah korban kita dapat lihat pelbagai hikmah. Selain membentuk kerjasama, ia juga boleh memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat. Jadi penting bagi setiap umat Islam supaya meletakkan agama di peringkat paling tinggi dalam kehidupan, agama merupakan keutamaan bukannya perkara lain seperti politik.
Ibadah ini mampu memulihkan perpaduan ummah  yang semakin merudum. Jadi, ketepikan fahaman politik yang berbeza dalam menjalankan ibadah ini. Jangan jadikan fahaman politik yang berbeza sebagai salah satu alasan untuk berpecah belah. Walaupun masing-masing mempunyai pegangan politik yang berbeza, dalam agama kita ini semua saja di sisi-Nya dan saya yakin, jika kita meletakkan  agama di tangga nombor satu, semua orang mampu mencapai perpaduan yang utuh.
Setiap pucuk pimpinan dalam masyarakat juga perlu meletakkan dan mengutamakan perpaduan bagi melaksanakan tugas-tugas penting termasuk hal-hal berkaitan politik. Ini signifikasi yang saya dapat simpulkan berhubung dengan perpaduan ini.
Jika mahu dibandingkan dengan zaman dahulu, saya merasakan masyarakat terdahulu mempunyai ikatan perpaduan yang cukup kukuh walaupun pegangan politik berbeza-beza. Jika mahu dibandingkan dengan zaman kini, masyarakat kini lebih bersifat individualistik, lebih suka hidup bersendiri tanpa mendambakan bantuan orang lain. Perkara ini yang kita harus elakkan kerana kita seharusnya hidup dalam keadaan bermasyarakat jika mahukan perpaduan yang kukuh.
Jadi, sekali lagi saya mahu tegaskan, jangan meletakkan politik mengatasi agama, letakkan agama di peringkat tertinggi jika mahu kembalikan perpaduan kukuh di kalangan umat Islam negara ini. Berpegang teguh dengan tali ALLAH SWT, saya yakin perpaduan yang kita dambakan selama ini dapat dikembalikan semula.
Harus diingat, kejayaan setiap orang itu tidak mungkin dapat digapai dengan dirinya sendiri, mereka juga memerlukan bantuan orang sekeliling bagi mencapai kejayaan, jadi berpijaklah pada bumi yang nyata, perpaduan amat penting jika mahu menggapai kejayaan.

No comments:

Post a Comment