Thursday, October 25, 2012

Lumpuh kena serpihan bedilan kereta kebal


       
AMMAN (JORDAN): Senjata bukanlah penyelesaian masalah bagi pergolakan yang berlaku antara puak pembebasan dan tentera rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad dalam menjamin keamanan serta kestabilan negara berkenaan.

Peperangan antara dua kumpulan itu bukan sekadar membunuh antara satu sama lain, malah natijahnya lebih besar apabila rakyat tidak berdosa menjadi mangsa.


Buktinya, ratusan rakyat terbunuh manakala lebih sejuta terpaksa menjadi pelarian dan mendapatkan perlindungan di negara seperti Iraq, Lubnan serta Jordan.

Itulah perkara yang diutarakan, Abdul Ilah, 32, berasal dari Homs, Syria yang kini lumpuh selepas terkena serpihan bedilan peluru kereta kebal tentera rejim Bashar ketika cuba menyelamatkan penduduk di kejiranannya yang tercedera. Abdul yang parah diselamatkan sebelum dibawa keluarganya ke Amman. Dia dan keluarga kini berlindung di sebuah rumah yang diserahkan rakyat Jordan kepadanya.


Berkongsi kisah hitamnya itu, Abdul berkata, dia dan sembilan rakan keluar daripada rumah mereka selepas berlaku peperangan antara tentera kerajaan dengan puak pembebasan untuk menyelamatkan penduduk kawasan berkenaan.


Katanya, ketika usaha menyelamatkan penduduk yang cedera, sebuah kereta kebal membedil rumah penduduk kawasan berkenaan.

“Serpihan peluru itu terkena belakang menyebabkan saya mengalami kecederaan parah,” katanya.


Menurutnya, dia yang mengerang menahan kesakitan sempat melihat rakannya terbujur kaku di tanah sebelum diselamatkan penduduk lain yang berada di situ.

Ibunya, Randah al-Derubi, 43, berkata, selain Abdul terlantar sakit akibat peperangan, dia kehilangan seorang anak lelaki iaitu abang Abdul serta suami, Ilah.


“Manakala anak bongsunya melarikan diri mendapatkan perlindungan di Arab Saudi,” katanya. Menurutnya, kehilangan suami dan anak tercintanya berlaku pada 11 Ramadan lalu ketika seluruh umat Islam sedang berpuasa.


Isteri Abdul, Ataf Assaf, 23, yang diminta menceritakan kehidupan di kawasan perkampungannya itu berkata, ia cukup susah dan tidak boleh digambarkan.


“Bukan sekadar berada dalam keadaan ketakutan kami sekeluarga terpaksa mengikat perut sebelum mengambil keputusan melarikan diri dan berlindung di sini (Jordan),” katanya.

No comments:

Post a Comment