Thursday, October 25, 2012

Konflik Rakhine ragut 11 nyawa



Keganasan etnik yang berlaku di negeri Rakhine antara etnik Islam Rohingya dan Rakhine Buddha sering menyaksikan kediaman kedua-dua pihak dibakar. - Agensi
YANGON 23 Okt. - Konflik agama di negeri Rakhine di barat Myanmar meragut 11 lagi nyawa dalam pergaduhan terbaru antara etnik Rohingya Islam dan penganut Buddha, semalam.
Ketua Keadilan Rakhine, Hla Thein berkata, sehingga laporan ini dikeluarkan, hanya tiga mangsa terbunuh telah dikenal pasti iaitu dua wanita Rohingya Islam dan seorang lelaki Buddha, di kampung Pandeinkone.
"Situasi di situ (Pandeinkone), sukar dikawal dan kami masih belum mendapat maklumat mengenai mangsa yang cedera," katanya.
Pihak berkuasa Myanmar, hari ini terpaksa melaksanakan perintah berkurung di kawasan perbandaran Minbya dan Mrauk U di barat Rakhine, berikutan pergaduhan yang berlarutan sehingga menyebabkan lebih 300 buah kediaman dibakar.
Perintah itu berkuatkuasa bermula malam tadi dari pukul 7 petang (waktu tempatan) hingga pukul 5 pagi ini.
Sengketa terbaharu itu yang bermula di bandar Minbya kelmarin, merebak ke Mrauk U dan berterusan sehingga semalam, memaksa perintah berkurung dilaksanakan bersama kawalan keselamatan.
Sehingga kini, darurat diisytiharkan di negeri Rakhine dan perintah berkurung dilaksanakan di lima kawasan perbandaran utama iaitu di Maungtaw, Buthidaung, Sittway, Thandwe, Kyaukphyu dan Yanbye sejak Jun lalu.
Perintah itu dipanjangkan ke Kyauktaw pada Ogos lalu dan terbaharu, Minbya dan Mrauk U, menjadikan keseluruhan kawasan dikenakan perintah berkurung berjumlah sembilan.
Setakat ini, sengketa agama di Rakhine telah mengorbankan 90 nyawa, 116 lagi cedera dan memaksa 65,000 penduduk menjadi pelarian.
Selain itu, sebanyak 4,822 buah kediaman, 17 buah masjid, 15 buah kuil dan tiga buah sekolah dibakar dalam sengketa yang masih berlarutan itu. - AFP/ BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121024/lu_02/Konflik-Rakhine-ragut-11-nyawa#ixzz2AKKZFhax
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment