Thursday, October 25, 2012

Penduduk Syria terus derita

Abdul Azeez melawat Pusat Kebajikan Masyarakat Islam Mafraq.Abdul Azeez melawat Pusat Kebajikan Masyarakat Islam Mafraq. Insiden ganggu emosi rakyat hilang keluarga

Tragedi 11 Ramadan lalu masih menghantui pelarian Syria, Randah Al Derubi, 43, apabila anak perempuannya mati dibedil tentera Syria, anak lelakinya pula cedera dan kini lumpuh.

Mengimbau detik hitam itu, ibu malang berkenaan tidak mampu menahan sebak dan menitiskan air mata apabila diaju pelbagai soalan oleh wakil media ketika pertemuan dengannya yang menumpang sebuah rumah milik rakyat Jordan.

Lumpuh kena tembak

Anak lelakinya, Abdul Ilah, 32, terkena tembakan tentera Syria, lumpuh dan tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami kepada Afaf Assaf, 23, serta tiga anak mereka. Dia ditembak ketika cuba menyelamatkan rakannya dalam serangan oleh tentera negaranya sendiri.

“Abdul Ilah ditembak di belakang, serpihan besar bumbung bangunan yang terkena tembakan kereta kebal tentera Syria juga turut menghempap belakangnya.

“Anak perempuan saya yang keluar memeriksa kejadian itu bersama rakannya juga dibunuh, manakala seorang lagi anak melarikan diri ke Arab Saudi,” kata Randah.
Sebelum itu, Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Duta Malaysia ke Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz melawat keluarga malang itu bagi menghulurkan sumbangan.
Kesan tembakan di belakang badan Abdul Ilah masih kelihatan dan mimpi ngeri itu terus menghantuinya. Dia kini hanya terlantar di katil dan tidak lagi mampu berjuang mendapatkan kebebasan. Namun, harapannya serta keluarga supaya keadaan di Syria kembali pulih tidak pernah padam.

Dalam lawatan ke Mafraq, Azeez serta Malek menghulurkan sumbangan AS$20,000 kepada Pengarah Urusan Pusat Kebajikan Masyarakat Islam Mafraq, Mufeed H Suleiman. Melihat sekitar pusat terbabit, perhatian kami tertumpu kepada seorang kanak-kanak 10 tahun yang belajar di situ.


Anak yatim teringin ke Malaysia

Rama Muhamad, anak yatim piatu yang kehilangan ibu serta bapanya dalam pergolakan di Syria, petah berkata-kata: “Saya boleh cakap bahasa Inggeris. Saya mahu ikut awak pulang (ke Malaysia).”

“Saya nak tinggal dengan anda di sana (Malaysia), belajar dan mahukan kasih sayang ibu dan bapa. Ibu bapa saya sudah meninggal dunia. Namun, saya juga sayangkan Syria dan berdoa negara kami pulih semula. Saya rindukan Syria,” kata Rama.

Sementara itu, Mufeed berkata, pihaknya amat memerlukan sumbangan orang ramai bagi membantu anak yatim pelarian Syria di pusat kebajikan terbabit yang setakat ini berjumlah kira-kira 600 orang dengan belanja mengurus setiap mereka sekitar AS$150 (RM465) sebulan.

No comments:

Post a Comment