MUAR - Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memandu dengan melulu hingga menyebabkan kematian tiga beranak dalam kemalangan yang berlaku di Batu 14 Air Hitam, dekat sini, pada 23 Januari lalu.
      
Lee Yong Long, 27, dari Taman Budaya Jingga, Batu Pahat, dituduh melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 2 petang hingga menyebabkan kematian Ngaisah Redzuan, 46, dan dua anaknya, Muhammad Nurullah Azzim Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea, 10.
  
Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun hingga 20 tahun atau denda RM5,000 hingga RM20,000.
     
Tertuduh dengan tangan kanannya berbalut, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan Majistret Roslinda Razali.
  
Mahkamah menetapkan tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM8,700 bersama seorang penjamin manakala lesen memandu Lee digantung.
  
Roslinda menetapkan 6 Mac sebagai tarikh perbicaraan. Pendakwaaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa raya R.Bala sementara peguam bela ialah Mohd Redza Hamdan.
- Bernama