Wednesday, January 30, 2013

Sebulan darurat!




 3  0 Google +0  0  0 Cetak
Presiden Mesir, Mohammed Morsi semalam mengisytiharkan darurat selama sebulan di tiga bandar raya di sepanjang Terusan Suez, selepas puluhan orang terbunuh dalam tunjuk perasaan sejak empat hari lalu.

Tujuh orang ditembak mati dan ratusan lagi cedera di bandar Pelabuhan Said, kelmarin. Kejadian berlaku ketika majlis mengebumikan 33 orang yang terbunuh apabila penduduk tempatan yang berang dengan keputusan mahkamah mengenai bencana bola sepak tahun lalu, merusuh.


Seramai 49 orang maut sejak Khamis lalu dan penentang Morsi yang menuduh kumpulan Ikhwanul Muslimin yang diketuainya mengkhianati revolusi yang menggulingkan kerajaan Hosni Mubarak, menggesa diadakan lebih banyak tunjuk perasaan semalam. Sekutu presiden itu mendakwa tunjuk perasaan yang diadakan bertujuan menggulingkan beliau. “Turun, turun Morsi, turun rejim yang membunuh dan mendera kami!” laung orang ramai ketika mayat mangsa yang terbunuh Sabtu lalu diarak di jalan raya di Pelabuhan Said.

Morsi yang menjadi presiden Jun lalu, berusaha menyusun semula ekonomi dan meredakan kemarahan sebelum pilihan raya Parlimen beberapa bulan akan datang. Pilihan raya itu bertujuan mengukuhkan demokrasi di Mesir. Keganasan berulang kali turut menjejaskan nilai mata wang negara itu.


Berucap secara langsung menerusi televisyen, pemimpin itu berkata, perintah berkurung waktu malam akan dikuatkuasakan di Pelabuhan Said, Ismailia dan Suez, bermula semalam. Sebaik perisytiharan itu dibuat, ratusan penduduk menunjuk perasaan di ketiga-tiga bandar itu. Aktivis berikrar untuk tidak mengendahkan perintah berkurung itu sebagai membantah keputusan berkenaan.


“Melindungi negara tanggung jawab semua orang. Kami akan menentang sebarang ancaman terhadap keselamatan negara dengan ketegasan dan kekerasan yang selari dengan undang-undang,” kata Morsi sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Di Kaherah, Menteri Dalam Negeri yang baru dilantik, Mohamed Ibrahim, dihalang menghadiri majlis pengebumian seorang anggota polis yang terbunuh dalam pertempuran di Pelabuhan Said Sabtu lalu.


Seorang anggota polis yang berada di majlis berkenaan berkata, ramai rakan setugasnya menyalahkan menteri itu kerana kematian sekurang-kurangnya dua anggota polis apabila beliau tidak membenarkan mereka membawa senjata, kecuali gas pemedih mata.

No comments:

Post a Comment