Thursday, February 7, 2013

Perancis serang bandar Kidal



Gambar yang dikeluarkan pada 13 Januari lalu merakamkan pesawat pejuang Perancis jenis Rafale bersiap sedia untuk berlepas dari N'djamena. Pesawat Rafale digunakan oleh tentera Perancis semasa mengempur militan al-Qaeda di Gao, bandar utama di utara Mali yang digunakan pemberontak daripada puak Tuareg untuk melancarkan serangan ke atas tentera Mali kira-kira setahun lalu. - AFP
TIMBUKTU 4 Feb. - Tentera Perancis melancarkan serangan udara besar-besaran berhampiran bandar Kidal semalam, kubu terakhir militan Islam di utara Mali, selepas lawatan mengejut Presiden Francois Hollande ke Mali pada Sabtu lalu.
Seorang jurucakap tentera berkata, sebanyak 30 pesawat membedil pusat latihan dan logistik kumpulan militan sepanjang malam tadi di kawasan Tessalit, utara Kidal, lokasi tentera Perancis berjaya menawan lapangan terbang di bandar itu pada Rabu lalu.
Menurut penduduk, tentera Perancis dan Chad menguasai timur laut bandar itu buat pertama kalinya pada Sabtu lalu, ketika Hollande mengadakan lawatan ke negara ini bagi meraikan kejayaan kempen ketenteraan menghapuskan militan di Mali, yang menguasai utara negara ini sejak 10bulan lalu.
Tentera Mali diketuai Perancis hanya berdepan sedikit tentangan daripada kumpulan al-Qaeda yang merampas seluruh Mali.
Menurut pegawai, ramai militan kemungkinan besar telah melarikan diri ke kawasan pergunungan di sekitar Kidal.
Situasi di bandar itu kini masih tidak menentu dengan tujuh tebusan rakyat Perancis dipercayai masih berada di kawasan itu dan militan berpecah kepada beberapa kumpulan kecil.
Sementara itu, pemimpin nombor tiga militan daripada pergerakan Pembela Agama yang menguasai Timbuktu, ditahan berhampiran sempadan Algeria oleh kumpulan musuh dan dibawa ke Kidal, semalam.
"Mohamed Moussa Ag Mouhamed ditahan kumpulan bersenjata dipercayai sama ada daripada anggota Pergerakan Azawad (MIA) atau Pergerakan Pembebasan Kebangsaan Azawad (MNLA), kumpulan pemisah Tuareg yang berpaling tadah daripada kumpulan militan Mali.
Perkara itu turut disahkan oleh pegawai wilayah Kidal, Abdoulaye yang menyifatkan Mohamed Moussa sebagai 'perancang kumpulan militan itu'. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130205/lu_01/Perancis-serang-bandar-Kidal#ixzz2K8WLBOfw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment