Friday, July 26, 2013

Tentera Mesir gesa bantahan besar-besaran

KAHERAH 24 Julai - Krisis politik di Mesir dijangka bertambah parah apabila pihak tentera menggesa orang ramai untuk mengadakan bantahan besar-besaran pada Jumaat ini bagi menentang 'keganasan' yang tercetus ekoran penggulingan bekas Presiden Mohammed Mursi.
Ketua tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi dalam ucapannya hari ini berkata, bantahan di seluruh negara itu bukan bertujuan untuk mengeruhkan lagi keadaan tetapi menggesa rakyat menyuarakan sokongan untuk perdamaian antara kumpulan bertelagah.
Sisi turut menafikan tuduhan yang mendakwa beliau mengkhianati Mursi dan bertegas akan meneruskan pelan tindakan politik untuk menggubal Perlembagaan dan mengadakan pilihan raya dalam tempoh enam bulan.
"Saya meminta semua rakyat Mesir turun ke jalanan pada Jumaat ini untuk memberi saya mandat dan kuasa bagi menghentikan keganasan," katanya.
Kenyataan itu turut disokong pergerakan Tamarod menerusi pemimpinnya, Mahmoud Badr yang mendakwa 'keganasan' di Mesir berpunca daripada penyokong Mursi.
Sementara itu, pergerakan Ikhwanul Muslimin dalam kenyataannya berkata, 'ugutan' yang dilemparkan oleh tentera itu tidak akan menghentikan penyokong Mursi untuk terus mengadakan bantahan.
"Ugutan anda (tentera) tidak akan menghalang berjuta-juta penyokong kami untuk berkumpul dan mengadakan tunjuk perasaan," kata pemimpin kanan pergerakan terbabit, Essam El-Erian. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130725/lu_06/Tentera-Mesir-gesa-bantahan-besar-besaran#ixzz2a8RV6cdE
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment