Friday, July 26, 2013

Yusuf al-Qaradawi gesa tolak permintaan tentera


Sheikh Yusuf al-Qaradawi
DOHA 25 Julai - Ulama tersohor, Sheikh Yusuf al-Qaradawi mengeluarkan fatwa menggesa rakyat Mesir menolak permintaan ketua tentera negara itu untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran sebagai apa yang disifatkab sebagai tanda menyokong tindakan kekerasan ke atas 'keganasan'.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Cendekiawan Islam Antarabangsa mengeluarkan fatwa itu lewat semalam bagi 'menghalang' rakyat Mesir menyahut sebarang gesaan yang boleh membawa kepada perang saudara atau melindungi keganasan tentera terhadap mana-mana parti atau pihak penghasut.
Ketua Tentera Mesir, Jeneral Abdel Fattah al-Sisi semalam menggesa rakyat Mesir menyertai perhimpunan besar-besaran esok untuk menyokong tindakan kekerasan pasukan keselamatan terhadap 'keganasan'.
Dengan ketegangan di negara ini memuncak tiga minggu selepas tentera menggulingkan Presiden, Mohammed Mursi, gesaan itu meningkatkan lagi prospek berlakunya lebih banyak keganasan berdarah di negara itu.
Sheikh Yusuf, ulama Sunah yang beribu pejabat di Doha menggesa semua rakyat Mesir tidak kira anggota tentera, polis, rakyat biasa, untuk memelihara keselamatan negara itu dan mengelak apa-apa yang boleh membawa kepada perang saudara.
Katanya, rakyat Mesir perlu 'menggunakan kebijaksanaan untuk mengatasi krisis tersebut' meneruskan tunjuk perasaan secara aman dan bersabar.
Beliau turut menggesa negara-negara lain untuk mengemukakan inisiatif segera bagi menyelesaikan krisis berbahaya itu yang mengancam keselamatan Mesir, selain dunia Arab dan Islam.
Sementara itu, pendakwa raya awam Mesir, semalam mengarahkan penahanan pemimpin Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie dan lapan anggota kanan pergerakan Islam itu, lapor agensi berita MENA.
Waran tangkap ke atas Badie dan pegawai-pegawai kanan pergerakan itu dikeluarkan untuk siasatan berhubung tuduhan menghasut keganasan. - AFP/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130726/lu_03/Yusuf-al-Qaradawi-gesa-tolak-permintaan-tentera#ixzz2a8QqhyHm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment