Sunday, August 4, 2013

30j rakyat Indonesia balik kampung


KIRA-KIRA 30 juta perantau dianggarkan pulang ke kampung masing-masing sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini di Indonesia. - Agensi
JAKARTA 2 Ogos - Waktu puncak arus balik kampung di Jakarta dan wilayah-wilayah lain di Indonesia sempena Aidilfitri akan bermula esok, sekali gus menandakan bulan Ramadan akan ditinggalkan dan seluruh umat Islam mula sibuk memberi perhatian kepada Aidilfitri.
Semua stesen bas, kereta api, lapangan terbang dan pusat pengangkutan awam mula sibuk dan bising dengan kehadiran orang ramai.
Berdasarkan data Kementerian Perhubungan Indonesia, jumlah perantau yang akan balik kampung untuk meraikan lebaran di seluruh Indonesia pada tahun ini berjumlah 30 juta orang, dengan hampir 10 juta terdiri daripada perantau yang mencari rezeki di kota Jakarta.
Kesemua warga yang akan balik kampung dipecahkan kepada dua kelompok iaitu yang memilih menaiki pengangkutan awam dan kenderaan peribadi.
Menteri Perhubungan, EE Mangindaan berkata, pengendalian pengangkutan lebaran di Indonesia merupakan fenomena pengangkutan yang jarang ditemui di negara lain.
Puncak arus balik kampung pada tahun ini bermula awal kerana orang ramai diberi cuti lebih lama untuk menyambut lebaran berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Memandangkan esok dan Ahad merupakan cuti hujung minggu ditambah dengan sebilangan besar pejabat kerajaan dan swasta mula menutup operasi pada 5 Ogos ini (Isnin) menyebabkan ramai perantau memilih untuk balik ke kampung halaman seawal mungkin.
Pejabat-pejabat kerajaan dan syarikat swasta hanya akan kembali beroperasi seperti biasa pada 12 Ogos ini. - UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130803/lu_05/30j-rakyat-Indonesia-balik-kampung#ixzz2b06VITy9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment