KUALA LUMPUR 1 Ogos - Setelah bercerai dan rujuk semula lima tahun lalu, pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy hari ini melafaz cerai talak satu sekali lagi terhadap isterinya, Safiya Stephanie Kar-Leng Lee di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Lafaz itu dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Khairul Azwadi Mohamed Noor setelah beliau membenarkan permohonan Safiya yang telah difailkan pada 11 Julai lalu.
Safiya, 30, diwakili peguam syarie, Hazirah Othman memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47(3) Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Benjy, 35, memberitahu mahkamah anak guamnya bersetuju dengan permohonan untuk berpisah secara baik itu.
Berdasarkan fakta kes yang dibentangkan Hafizah, pasangan itu yang dikurniakan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun, Firdauz Juan Benjamin, telah tinggal berasingan sejak 2010.
Mereka yang bernikah pada 9 Februari 2004 pernah bercerai dengan talak satu pada 7 Julai 2008 namun rujuk semula pada hari yang sama.
Sebelum Benjy yang merupakan anak pelakon, Azean Irdawaty, melafazkan talak, Khairul Azwadi menasihatkan pasangan itu agar tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap anak mereka.
"Mahkamah tidak boleh paksa kamu tinggal bersama kerana takut kamu tidak menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri namun kamu mempunyai anak.
"Selepas ini kamu akan membawa haluan masing-masing namun jangan beri tekanan kepada anak," katanya yang kemudian mengarahkan pasangan itu bersalaman.
Pasangan berkenaan bersalaman kira-kira lima minit sambil Benjy memperkatakan sesuatu kepada Safiya yang dilihat mengangguk-angguk kepala.
Wanita itu turut mencium tangan Benjy yang kemudian mencium dahi Safiya.
Mahkamah mengesahkan lafaz talak satu buat kali kedua itu dan mengarahkan Safiya menjalani tempoh idah sebanyak tiga kali suci.
Sementara itu, di luar mahkamah Benjy memberitahu para pemberita, keputusan untuk bercerai secara baik itu dibuat setelah mereka tidak lagi sehaluan.
"Masing-masing sudah buat hal sendiri namun kami masih berkawan kerana kami mempunyai anak malah penjagaan anak dibuat secara bersama," katanya.
Menurut pelakon yang sedang menghadapi tuduhan memiliki dadah jenis syabu, anaknya kini dipelihara oleh Safiya tetapi akan berada dalam jagaannya setiap hujung minggu.
"Tiada masalah berhubung hak penjagaan anak kerana kami telah ada persetujuan malah Hari Raya Aidilfitri ini saya akan beraya dengan anak saya kerana kami menetap di Kuala Lumpur," ujarnya.
Sepanjang prosiding hari ini, Benjy ditemani bapanya, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130802/ma_01/Benjy-ceraikan-isteri-kali-kedua#ixzz2b0mXlXm8
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment