Muhyiddin tiba di Tehran hadiri pelantikan Presiden baharu Iran
TEHRAN 4 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini hari ini untuk mewakili Malaysia pada majlis pelantikan presiden baharu Iran.
Beliau dijadual menyertai beberapa presiden, perdana menteri dan timbalan perdana menteri serta speaker parlimen pada majlis pelantikan imam beraliran sederhana Hassan Rouhani sebagai Presiden Iran yang ketujuh di Bangunan Parlimen di sini lewat hari ini.
Pesawat khas yang membawa Muhyiddin mendarat di Lapangan Terbang Mehrabad di sini kira-kira pukul 5 pagi waktu tempatan (8.30 pagi waktu Malaysia) selepas hampir lapan jam penerbangan dari Kuala Lumpur.
Ketibaan beliau yang diiringi isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan beberapa pegawai, disambut Duta Malaysia ke Iran Mohamad Sadik Kethergany dan pegawai kanan Iran.
Muhyiddin juga dijadual menghadiri majlis berbuka puasa di Saadabad Palace malam ini.
Dengan sokongan kempen yang dilihat menonjolkan kesederhanaan dan kebijaksanaan, Rouhani, 64, menang pilihan raya presiden yang berlangsung pada 14 Jun lepas setelah meraih 50.7 peratus atau 18.6 juta undi daripada jumlah keseluruhan 36.7 juta undi.
Rouhani menggantikan Mahmoud Ahmadinejad yang merekodkan pelbagai dasar bercanggah sepanjang lapan tahun mentadbir. - BERNAMA
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130804/dn_21/Muhyiddin-tiba-di-Tehran-hadiri-pelantikan-Presiden-baharu-Iran#ixzz2b0g5SLod
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment