Sunday, August 4, 2013

Lokasi tahanan Mursi dipindah

KAHERAH 1 Ogos - Tentera Mesir memindahkan bekas Presiden Mohammed Mursi ke tempat tahanan yang baharu untuk memastikan lokasi beliau ditahan terus dirahsiakan.
Sejak ditahan pada 3 Julai lalu, Mursi telah dipindahkan sebanyak tiga kali.
Pihak tentera dilihat terdesak 'menyembunyikan' bekas Presiden itu.
Tentera juga cuba mengelirukan pelawat terutama orang kenamaan asing yang melawat Mursi dengan membawa mereka menaiki helikopter dan menggunakan laluan yang mengelirukan.
Jurucakap tentera, Kolonel Ahmed Mohammed Ali berkata, helikopter dinaiki sekumpulan pemimpin dan orang kenamaan dari Kesatuan Afrika, semalam sengaja diterbangkan menggunakan laluan berliku-liku bagi mengelak pelawat mengetahui lokasi sebenar pemimpin Ikhwanul Muslimin itu ditahan.
"Penerbangan dengan helikopter itu dilakukan pada waktu malam dan ia sengaja diterbangkan menggunakan laluan mengelirukan supaya pelawat tidak tahu tempat sebenar Mursi ditahan," katanya kepada Associated Press.
Ahmed, bagaimanapun menafikan laporan Mursi menerima layanan buruk dan berada dalam keadaan tertekan serta tidak diberi rawatan sepanjang ditahan.
"Laporan palsu ini kemudiannya didedahkan kepada media Barat. Kami merahsiakan lokasi Mursi ditahan atas sebab keselamatan.
"Langkah ini merupakan sebahagian daripada polisi ketelusan. Tiada perkara yang hendak disembunyikan," katanya. - AP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130802/lu_05/Lokasi-tahanan-Mursi-dipindah#ixzz2b05mgriZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment