Kuala Lumpur: Amerika Syarikat menyifatkan hubungannya dengan dunia Islam terutama di Asia Barat dan Afrika masih ada ruang untuk berkembang ke arah mencapai persefahaman lebih baik.
Dari segi itu, Amerika menghadapi cabaran tertentu termasuk konflik di Asia Barat serta proses damai Israel Palestin, kata Timbalan Penasihat Keselamatan Nasional dalam Komunikasi Strategik untuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, Ben Rhodes, di sini.
Saya fikir hubungan antara individu, sektor pendidikan dan ekonomi diteruskan seperti biasa cuma lebih banyak perkembangan perlu dilihat dalam isu berkaitan Israel dan Palestin yang masih belum selesai.
Lancar rundingan semula
Kami baru-baru ini melancarkan rundingan semula antara keduanya yang difikirkan tepat pada masanya di Washington, ia adalah masa membuat satu janji walaupun ada cabaran menanti dari segi itu.
Ada beberapa isu lain yang perlu diselesaikan dan sudah pasti mengundang kekecewaan kerana perkembangan mengambil masa namun kami akan terus berusaha sehingga satu kerjasama penuh dicapai selain terus cuba saling hormat menghormati demi kepentingan bersama, katanya dalam sidang media di sini.
Rhodes adalah penulis teks ucapan Obama ketika presiden Amerika itu memberi ucapan bersejarah kepada dunia Islam di Kaherah, Mesir pada 2009.
Obama dijangka melakukan kunjungan rasmi pertamanya ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak Keusahawanan Global ke-4 dari 11-12 Oktober tahun ini.
Mengulas pergolakan di Asia Barat ketika ini sama ada Amerika cuba campur tangan bagi meredakan keadaan, Rhodes berkata, Washington mengelak untuk cuba menggunakan hubungan antara negara dalam menentukan masa depan negara terbabit.
Kami tetap dengan pendirian tidak menggunakan hubungan untuk campur tangan kerana nasib mereka bergantung kepada rakyat yang menentukan apa berlaku di sana.
Adalah penting kami menjadi rakan kongsi, tidak semestinya memilih pemenang di negara yang menghadapi peralihan kepimpinan, kami cuba sokong peralihan secara demokratik, katanya.
Ditanya jika ketiadaan hubungan antara Malaysia dan Israel sebagai satu permasalahan, beliau berkata pihaknya menggalakkan negara lain menormalkan hubungan mereka untuk keamanan sejagat.
Apa yang kita lihat proses komprehensif jelasnya bermula dengan Palestin dan Israel yang seterusnya Israel dengan seluruh dunia, kami mahu lihat Israel bersepadu dengan negara lain termasuk Malaysia, katanya.
No comments:
Post a Comment