Friday, August 15, 2014

Dua ADUN tak gentar tindakan


Oleh Hadzlan Hassan, Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Nur Saliawati Salberi

Shah Alam: Walaupun pimpinan PAS Pusat belum membuat ketetapan pendirian parti itu berhubung kemelut politik di negeri ini, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti berkenaan tampil menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Menteri Besar.

Dua ahlinya, ADUN Hulu Klang Shaari Sungib dan ADUN Morib Hasnul Baharuddin tampil dalam sidang media PKR bagi menyatakan sokongan terhadap Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, semalam.


Shaari berkata, walaupun partinya masih belum membuat keputusan sama ada menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau tidak, beliau tetap yakin Wan Azizah adalah calon yang layak.



“Saya percaya sokongan ini tidak merosakkan polisi Pakatan Rakyat (PR) mahupun PAS kerana saya mendukung polisi untuk terus menyokong PR bagi memerintah Selangor.


“Sokongan yang saya nyatakan ini sebahagian sumbangan sebagai ADUN untuk mendapatkan majoriti dan parti saya (PAS) perlu menghormati pendirian ini. Saya juga yakin akan ada lagi ADUN PAS akan melakukan perkara sama,” katanya.


Menurutnya, keputusan untuk menyokong Wan Azizah sebagai Menteri Besar dilakukan selepas beliau mengambil kira pandangan beberapa pemimpin PAS berhubung isu berkenaan.

Beliau juga bersedia berdepan dengan sebarang tindakan disiplin daripada PAS.


Menurutnya, jika kepemimpinan tertinggi PAS masih menolak Wan Azizah sebagai Menteri Besar, beliau tetap dengan sokongannya dan bersedia untuk bergelar ADUN bebas.

Sementara itu, Hasnul berkata, sokongan dinyatakan terhadap Wan Azizah dibuat kerana mendakwa Abdul Khalid melakukan beberapa kesilapan dalam pentadbiran yang merosakkan PR.


Katanya, beliau tidak mahu terus menunggu dan melihat Abdul Khalid terus melakukan pelbagai kesilapan dalam pentadbirannya sebelum ini.


“Dalam tempoh dua hari, beliau (Abdul Khalid) sudah memecat enam Exconya daripada PKR dan DAP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

No comments:

Post a Comment