Friday, August 15, 2014

Krisis Selangor: PAS tetap tolak Wan Azizah - Mustafa


2014/08/14 - 22:55:25

KUALA LUMPUR: PAS tetap menolak pencalonan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Keputusan itu dibuat oleh Lajnah Politik dan Pilihanraya PAS Pusat yang bermesyuarat di Ibu Pejabat PAS di sini, malam tadi. Mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira dua jam itu dipengerusikan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.


Pada sidang media kemudian, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, menegaskan penolakan pencalonan Dr Wan Azizah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu bukan kerana jantina.

Katanya, sebab penolakan pencalonan isteri kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, itu sudah dinyatakan kepada semua 15 ADUN PAS di Selangor dan pucuk kepemimpinan PKR.

Bagaimanapun, Mustafa berkata PAS tidak akan menuntut dan menamakan wakil rakyatnya di DUN Selangor sebagai calon Menteri Besar.

"Dari dulu kita dah maklumkan bahawa PAS tidak akan menuntut untuk menduduki kerusi berkenaan ," katanya.

Mustafa juga berkata, PAS tetap menganggap kerajaan Selangor sedia ada sebagai kerajaan Pakatan Rakyat biarpun ditadbir seorang Menteri Besar Bebas dan hanya empat EXCO PAS selepas pemecatan dan peletakan jawatan enam anggota daripada PKR dan DAP.
Sehubungan itu, katanya, kedudukan EXCO PAS dalam kerajaan Selangor masih tidak berubah sehingga keputusan dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat pada Ahad ini.

"Kami masih anggap kerajaan Selangor sebagai kerajaan Pakatan, empat EXCO itu mewakili parti dan pakatan selepas enam EXCO daripada DAP dan PKR dipecat dan meletak jawatan," katanya.

No comments:

Post a Comment