• mahkamah

KUALA LUMPUR - Seorang blogger hari ini didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menghantar komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong melalui Twitter.
  
Hakim Zulqarnain Hassan mengenakan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan ke atas Effi Nazrel Saharudin, 35, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah semasa kes disebut semula hari ini.
  
Beliau turut memerintahkan Effi Nazrel yang turut dikenali sebagai "10befiend" dalam akaun Twitternya menjalani hukuman penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan itu, jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
  
Pada 5 Jun lalu, blogger itu mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menghantar komen jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam akaun Twitternya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
  
Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah kondominium di Taman Puncak Desa, Kepong dekat sini masing-masing pukul 11.21 pagi dan 11.23 pagi pada 1 Jun 2013.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut subseksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
  
Terdahulu, peguam Syaredzan Johan yang mewakili Effi Nazrel memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda memandangkan anak guamnya yang bekerja sebagai 'tech-writter' atau wartawan portal teknologi hanya bergaji RM3,000 sebulan dan perlu menanggung keluarga.
  
"Selain itu, pengakuan bersalah OKS (Orang Kena Saman) telah menjimatkan masa dan kos mahkamah serta OKS menyesali serta berjanji untuk lebih berhati-hati dalam menghantar sebarang komentar," katanya.
  
Timbalan Pendakwa Raya Nazrul Nizam Mohd Zameri berkata sekiranya OKS dikenakan hukuman denda, pihaknya memohon jumlah denda yang dikenakan bukan sahaja memberi peringatan kepada OKS tetapi juga kepada masyarakat. - Bernama