Friday, August 15, 2014

‘Tak terbayang jasad jatuh 10,000 meter’



Petaling Jaya: “Kali pertama sampai di sana, memang sesuatu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata kerana terlalu banyak persoalan kenapa harus berlaku kepada pesawat ini, sedangkan kita tak ada musuh.

“Bila melihat saja cebisan lambang Penerbangan Malaysia (MAS) pada bahagian ekor pesawat itu, saya sedih tidak dapat membayangkan bagaimana mangsa jatuh dari ketinggian 10,000 meter berselerakan di kawasan seluas 20 kilometer persegi ditengah ladang gandum itu,” kata Pengarang Berita Kanan Meja Khas Harian Metro Yusri Abdul Malek mengimbau detik ketika berpeluang menjejakkan kaki di kawasan nahas pesawat MH17 di Donestk pada 21 hingga 30 Julai lalu.


Menurut Yusri, untuk tiba di kawasan nahas di Timur Ukraine bukanlah perkara mudah kerana perlu menempuh perjalanan kira-kira 800 kilometer dari Kiev dengan menaiki kereta selama 12 jam.



“Sepanjang perjalanan kami diberitahu risiko tinggi sukar memasuki kawasan nahas kerana dikuasai pemberontak pro-Russia, namun saya bersama dua lagi rakan memberanikan diri menuju ke lokasi kejadian nahas.


“Sebanyak 13 sekatan terpaksa kami lalui yang sebahagiannya dikuasai tentera kerajaan Ukraine manakala selebihnya puak pemberontak pro-Russia,” katanya ketika berkongsi pengalaman bertugas di lokasi nahas MH17 di Ukraine dalam Program Malaysia Hari Ini di Sri Pentas di sini, semalam.


“Sememangnya membuat liputan nahas di kawasan yang dikuasai puak pemberontak adalah sesuatu mencabar, namun sebagai wartawan saya melihat ini dari sudut positif kerana walaupun menghadapi pelbagai masalah tetapi akhirnya saya dapat juga buat liputan untuk tatapan rakyat Malaysia,” katanya ketika berkongsi pengalaman bertugas di lokasi nahas MH17 di Ukraine dalam Program Malaysia Hari Ini di Sri Pentas di sini, semalam.

Turut bersama Yusri berkongsi pengalaman masing-masing bertugas membuat liputan nahas itu ialah Wartawan Penyiaran TV3 Mohd Faiz Aizat Azali serta Jurukamera TV3 Razak Ibrahim.


Berkongsi pengalamannya membuat liputan selama dua minggu di Hilversum, Belanda dan Amsterdam, Mohd Faiz Aizat berkata, dia mempelajari banyak perkara termasuk akta yang menjaga hak privasi rakyat Belanda serta perasaan kebersamaan mereka ketika sesuatu kejadian menimpa.

“Di Belanda amat berlainan sekali, kita tidak boleh sesuka hati bertanya atau menemuramah mereka kerana kita berdepan sekatan akta privasi yang perlu diikut di mana apa saja maklumat diperolehi, kita sahkan semula dengan kedutaan atau Majlis Keselamatan Negara (MKN).


“Malah, kita dapat lihat ketika penerbangan pertama membawa jenazah dan mayat mangsa nahas tiba di bumi Belanda, orang bawa kereta sanggup berhenti ke tepi dan berdiri, semua penerbangan dihentikan, malah kedai makan juga ditutup,” katanya.


“Paling terharu sebaik saja pesawat mendarat, seluruh isi negara itu berdiri memberi penghormatan kepada mangsa tragedi MH17,” katanya.


Perkara sama turut disokong Razak yang mengagumi budaya Belanda di mana mereka mementingkan sikap hormat- menghormati tinggi.


“Walaupun berdepan banyak cabaran termasuk kekangan mendapatkan visual di kawasan larangan, namun mereka masih tetap mahu membantu saya mendapatkan sudut terbaik.


“Bagi saya orang Belanda begitu menghormati paling penting mereka tidak langsung menyalahkan Malaysia dengan apa yang berlaku, itu saya bangga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

No comments:

Post a Comment