• Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen (kiri) dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menunjukkan laman web Higher Education Complaint and Appeal Portal (HEAP) di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAINAhli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen (kiri) dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menunjukkan laman web Higher Education Complaint and Appeal Portal (HEAP) di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN

PETALING JAYA - Jumlah pengambilan pelajar yang layak ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi sesi 2014-2015 didakwa menurun sehingga 50 peratus kepada 37,467 orang daripada 67,388 pelajar yang layak.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, jumlah kemasukan itu jelas berbeza berbanding bagi sesi 2013-2014 yang membabitkan 80 peratus kepada 41,573 pelajar daripada 57,802 permohonan.

"Kita menjangkakan tahun ini seramai 30,000 pelajar yang layak tidak mendapat tempat di IPTA.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 5,000 tempat di IPTA telah dikurang pada tahun ini dan pengurang kouta itu dibuat melibatkan semua kaum," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU), Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia pada Selasa lalu yang mengumumkan keputusan permohonan kemasukan ke IPTA bagi calon lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau setaraf untuk sesi akademik 2014/2015.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen.

Sementara itu, Wong Chen turut mempersoalkan pengurangan pengambilan pelajar itu berbanding peningkatan populasi rakyat di negara ini.

"Populasi Malaysia bertambah setiap tahun, tetapi ruang (kemasukan pelajar IPTA) semakin menurun, ini bercanggah.

"Adakah isu ini fiskal (kewangan) atau apa isu sebenar penurunan ini?

"Kita suspek penurunan ini disebabkan belanjawan negara," dakwanya.

Dalam pada itu, Tze Tzin mendakwa kerajaan telah menolak tanggungjawab pendidikan mereka dan memberikannya kepada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

"Ia umpama memberi bisnes kepada pengusaha IPTS. Isu IPTS pula yuran sangat tinggi dan ramai tidak mampu masuk IPTS, maka pelajar terpaksa meminjam dengan PTPTN, apabila keluar terpaksa menanggung beban hutang tinggi," katanya.