Friday, August 15, 2014

Dua rakyat Korea Utara berenang ke Korea Selatan


SEOUL - Dua rakyat Korea Utara berenang merentasi sempadan laut menuju ke Korea Selatan semalam, kata Kementerian Penyatuan Korea.
Mereka yang masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an dan 50-an menyeberangi sempadan maritim di Laut Kuning menuju ke Pulau Gyodongdo milik Korea Selatan sekitar pukul 4 pagi kelmarin ( waktu tempatan).
Kedua-dua lelaki itu kemudian ditemui oleh beberapa anggota marin Korea Selatan.
"Dua rakyat Korea Utara itu menyatakan ingin berpaling tadah. Mereka dipercayai pasangan ayah dan anak lelaki," kata seorang jurucakap Marin.
"Kedua-duanya kini disoal siasat melibatkan prosedur biasa untuk pembelot," tambahnya.
Pulau Gyodongdo yang dikawal ketat terletak sekitar 2.5 kilometer dari pantai terdekat di Korea Utara.
Insiden pembelot berenang merentasi sempadan jarang berlaku di dua negara Korea itu manakala setakat ini masih tidak dapat dipastikan sejauh mana mereka telah berenang.
Kebanyakan warga Korea Utara yang lari daripada kemiskinan dan tekanan di tanah air mereka pada kebiasaannya menyeberangi sempadan China terlebih dahulu sebelum menuju ke Korea Selatan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0815&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3APWob9MV 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment