• MH17

SEREMBAN –  Kerajaan negeri turut membuat persediaan bagi menanti ketibaan jenazah Pramugari Kanan Malaysia Airline MH17, Mastura Mustafa yang dijangka dibawa pulang tidak lama lagi sekali gus membantu keluarga mangsa menguruskannya.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bagaimanapun pihaknya masih menunggu keputusan daripada keluarga Allahyarham berhubung pengurusan jenazah sebaik sahaja ia sampai di negeri ini.

“Kita masih menunggu keputusan daripada keluarga sama ada mahu bawa jenazah pulang ke rumah terlebih dahulu ataupun terus ke Masjid At-Taqwa, Kampung Paroi untuk disolatkan dan kemudiannya disemadikan di Tanah Perkuburan Paroi Jaya.

“Keputusan itu kita serahkan kepada keluarga, manakala kerajaan negeri akan memberi bantuan sepenuhnya bagi memastikan semuanya berjalan lancar. Beberapa jabatan sudah diberi tugasan masing-masing bagi membantu,” katanya pada sidang media selepas hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Pentadbiran Daerah Seremban diadakan di Kompleks Pentadbiran Daerah Seremban, di sini semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin; Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Abdullah Hanafi dan Pegawai Daerah Seremban, Hasnul Mohamed.

Sementara itu beliau berkata, sambutan hari kemerdekaan di negeri ini disambut sederhana sebagai tanda simpati dan dukacita dengan beberapa tragedi yang menimpa negara.

“Sambutan kemerdekaan adalah hari yang penuh bermakna untuk negara kita, namun disebabkan kita masih bersedih dan berdukacita dengan tragedi yang berlaku, sambutan kali ini akan tetap diteruskan tetapi dalam keadaan sederhana serta penuh bermakna.

“Upacara perbarisan yang merupakan acara tradisi setiap kali sambutan kemerdekaan akan dijalankan seperti biasa tetapi kita tidak adakan sambutan menjelang malam 31 Ogos,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata,  majlis penyerahan jalur gemilang kepada semua sektor dan jabatan akan diadakan bagi memastikan sambutan bulan kemerdekaan tetap diingati walaupun dalam keadaan sederhana.