AHAD, 28 SEPTEMBER 2014 @ 3:24 PM
TOKYO: Lebih 30 orang ditemui tidak sedarkan diri dan dipercayai mati berhampiran kawasan puncak gunung berapi yang meletus, kata seorang pegawai polis Jepun hari ini.
Mangsa berkenaan dikatakan tidak lagi bernafas dan degupan jantung mereka berhenti. Bagaimanapun pengesahan kematian tidak boleh dibuat selagi polis tidak menjalankan bedah siasat.
Pegawai polis wilayah Nagano berkata, maklumat terperinci berkaitan lokasi penemuan mayat dan identiti mereka masih belum diperoleh.
Gunung Ontake di tengah Jepun meletus sebelum tengah hari semalam dan memuntahkan kepulan gas dan abu yang tinggi ke udara menyebabkan kawasan di sekitarnya diliputi abu tebal.
Sekurang-kurangnya 250 orang terperangkap di cerun gunung, namun kebanyakan mereka berjaya turun ke kaki gunung lewat malam tadi.
Seorang pegawai berhampiran bandar Kiso, Keita Ushimaru berkata, pegawai pengurusan krisis wilayah Nagano sudah memaklumkan bahawa empat orang yang berjaya dibawa turun mengalami kegagalan fungsi jantung dan paru-paru dan terdapat beberapa mangsa lain turut mengalami masalah yang sama.
Sementara itu, anggota penyelamat juga berusaha untuk membawa turun mangsa yang terperangkap di puncak gunung semalaman.
Helikopter tentera berjaya membawa turun tujuh mangsa di lereng gunung awal pagi ini, manakala anggota penyelamat yang berjalan kaki juga membantu mangsa untuk turun. - AP
No comments:
Post a Comment