Sunday, September 28, 2014

Pencarian MH370: Hasil pemetaan didedahkan


SYDNEY 27 Sept. - Bekas gunung berapi, rabung dan jurang yang dalam, ditemui di dasar laut di selatan Lautan Hindi oleh pakar yang membuat pemetaan di kawasan batuan di dasar laut sebagai usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS), MH370 yang hilang Mac lalu.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menyiarkan tiga keping gambar tiga dimensi (3D) semalam, pendedahan buat pertama kali butiran dasar laut yang menjadi tumpuan pencarian pesawat itu.
ATSB berkata, pengenalan ciri-ciri muka bumi tersebut akan membantu dalam melaksanakan fasa pencarian dasar laut untuk pesawat Boeing 777 itu yang dijangka bermula pada bulan depan.
Kawasan itu yang dipercayai menjadi lokasi terakhir pesawat tersebut terhempas merupakan sebuah kawasan terpencil dan sebahagian besarnya masih belum diterokai di mana tinjauan dasar laut secara intensif perlu dilakukan sebelum siasatan bawah air boleh dimulakan.
"Data resolusi tinggi yang diperoleh daripada tinjauan bawah air itu mendedahkan kebanyakan ciri-ciri dasar laut ini buat pertama kali.
"Ia juga mendedahkan ciri dasar laut pada tahap yang lebih baik yang sebelum ini tidak dapat dilihat menerusi data satelit yang resolusinya rendah,’’ kata ATSB.
Menurut ATSB, kawasan pencarian MH370 di Australia Barat itu menemukan pergerakan kerak bumi daripada bekas tapak gunung berapi, rabung yang setinggi 300 meter dan jurang yang mempunyai kedalaman sehingga 1,400 meter berbanding dengan kawasan lantai dasar laut.
Australia berikrar untuk melakukan segala yang termampu bagi mencari pesawat MH370 yang membawa 239 orang penumpang, kebanyakannya rakyat China yang hilang sewaktu ia dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140928/lu_07/Pencarian-MH370-Hasil-pemetaan-didedahkan#ixzz3EYZAagwf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment