Sunday, September 28, 2014

Kamu hilang sesuatu yang penting kerana alat telekomunikasi


TUAN IBRAHIM TUAN MAN | .
Wahai sahabatku,
Kamu ada masa untuk diluangkan untuk tulisan aku ini? Maksud aku ialah dalam banyak-banyak aktiviti – membaca Whatsapp, membaca status Facebook, mesej kekawan, baca berita di internet, mencari di Google, tengah main game, telefon yang tidak henti berbunyi, melayari YouTube dan muzik – kamu ada tak masa untuk membaca tulisan aku ini?

Dengan kehidupan kamu yang sibuk, sudah tentu kamu sedang menyoal samada berbaloi ke tak untuk kamu menghabiskan masa kamu yang berharga untuk membaca tulisan yang agak panjang ini. Untuk kamu rasa berbaloi, tulisan ini mestilah ditulis dengan sangat baik.

Siapa kamu sebenarnya, wahai sahabatku? Sebagaimana orang lain, kamu adalah seorang yang bersemangat, sibuk, berangkaian dan bercita-cita. Kamu sentiasa mengejar untuk memiliki alat elektronik terbaru untuk membolehkan kamu berkomunikasi dengan pelbagai cara. Bagi kamu, sangat penting untuk sentiasa mengikuti perkembangan terbaru. Kerana itu, kamu selalu terikat dengan alat telekomunikasi kamu – telefon, iPAD ataupun komputer.

Sedarkah, kamu tidak terlepas daripada terfikir siapa yang email kamu dan siapa yang akan menelefon kamu ketika kamu bersukan, solat mahupun di tandas. Sebaik kelas kamu habis, perkara pertama yang kamu akan lakukan ialah menyemak telefon untuk melihat apakah ada mesej, email atau miscall yang menanti kamu. Apabila ada pensyarah yang tidak izinkan kamu membawa telefon ke kelas, kamu memikirkan cara bagaimana kamu boleh seludup telefon untuk dibawa ke kelas.

Kamu hidup seolah-olah menjauhkan diri kamu daripada alat telekomunikasi adalah satu perkara yang teramat sangat susah bagi kamu. Wahai sahabatku, betulkah apa yang aku kata?

Kamu sentiasa berfikir bahawa kamu perlu sentiasa online demi keluarga, sekolah mahupun kerja. “Bagaimana kalau ada kawan, rakan sekerja, bos atau ahli keluarga yang perlukan saya segera?” – itulah persoalan yang sentiasa berlegar di minda kamu. “Aku mesti pastikan aku boleh dihubungi pada bila-bila masa!” – itulah idea yang tertanam di mindamu.

Wahai sahabatku,
Tidak dinafikan bahawa teknologi membawa banyak kebaikan, namun banyak juga perkara negatif yang dibawanya sekiranya kamu terlalu terikat dengannya tanpa sedar. Kamu akan merasa tergesa-gesa dan cemas dengan masa; kamu makan dengan cepat, dan sering makan sambil bermain telefon dan di depan komputer; kamu tidak dapat menumpukan fokus untuk masa yang lama; dan kamu mengalami kelesuan minda.

Kamu sedar bahawa stress boleh mendatangkan kemudaratan, tapi kamu tidak sedar bahawa badan dan minda kamu sebenarnya telah lama stress akibat terlalu terikat dengan alat komunikasi kamu. Pada zaman ini, kamu tidak akan dapat melepaskan iPAD, telefon dan alat kamunikasi kamu, meskipun di dalam hati, kamu ingin tahu apakah impak segala pelbagai komunikasi canggih ini pada kehidupan kamu…

Sedarkah kamu bahawa kerana alat-alat telekomunikasi ini – kamu telah kehilangan sesuatu yang amat penting – iaitu kualiti minda kerana kamu telah ditelan teknologi tanpa sedar.

Wahai sahabatku,
Setakat ini dulu tulisan aku kali ini. Renungkanlah dulu sebelum aku menghuraikannya dengan lebih lanjut di tulisan-tulisan akan datang.

Senyum

No comments:

Post a Comment